Jenayah

Ancaman IS Libatkan Semua Golongan

KUALA LUMPUR: Ancaman kumpulan militan IS yang mahu mempengaruhi orang ramai menyertainya perlu dilihat secara serius kerana ia melibatkan semua golongan, sama ada orang awam mahupun penjawat awam, malah golongan bijak pandai juga boleh terpengaruh dengan ideologi kumpulan itu.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata ini kerana  Gerakan IS merupakan ancaman global yang bukan sahaja melibatkan negara di Timur Tengah malah merebak ke seluruh dunia atas keupayaan media sosial hari ini.

“Ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada keselamatan dan keamanan negara kita kerana apabila mereka (militan IS rakyat Malaysia) ke sana sudah tentu mereka memperoleh kemahiran tertentu yang mungkin menyebabkan mereka kembali ke tanah air sehingga menimbulkan masalah akidah yang dipercayai mereka,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran pendekatan Wasatiyyah peringkat Kementerian Pertahanan (Kementah) di Auditorium Kementah, di sini, Khamis.

Beliau berkata isu berkaitan kumpulan militan, jika tidak ditangani akan mewujudkan kegiatan keganasan, seperti yang pernah berlaku sebelum ini di negara lain di rantau Asia Tenggara.

“Kita harus berwaspada kerana perkara ini akan menyebabkan wilayah (negara) bergolak sekiranya kumpulan ini tidak dibanteras habis-habisan.

“Apa yang diberitahu pihak polis, tidak kurang 10 rakyat Malaysia telah pun mati sebagai pengebom berani mati atas kepercayaan, mereka ke sana berjihad untuk mempertahankan agama tetapi ia merupakan sesuatu yang bercanggah dengan agama Islam sendiri,” kata Abdul Rahim.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya menjauhkan diri daripada menyertai mana-mana kumpulan yang berideologi ekstrem serta menyimpang jauh daripada ajaran Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahim berkata Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) akan dipertanggungjawabkan bersama Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk membangunkan Modul Perancangan Sejagat bagi mengadakan jerayawara tentang apa itu IS dari segi pengertian jihad sebenar dalam Islam.

“Alhamdulillah, setakat ini 30 jerayawara taklimat ancaman IS dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

Difahamkan jerayawara itu menyasarkan anggota ATM dan orang ramai.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");