Jenayah

Bergaya pakai motor cilok

Kulim: Lagak seorang lelaki yang bergaya dengan menunggang motosikal Yamaha Ego dicurinya berakhir apabila ditahan selepas dikejar sejauh kira-kira satu kilometer di Taman Kuchai, Lunas, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang, kelibat suspek berusia 20-an menunggang motosikal dicuri di sebuah rumah di Taman Rhu, di sini, sejak seminggu lalu dikesan ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat (PPKM) Kulim dan orang ramai di Paya Besar, Lunas.

Sumber berkata, mereka kemudian meminta bantuan pihak polis lalu mengekori lelaki terbabit sehingga ke Taman Kuchai menyebabkan suspek cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, tindakan suspek gagal apabila terperangkap sebaik berada berhampiran padang di taman perumahan itu selepas dikepung orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Sebelum itu kelibat suspek dilihat berada sekitar Taman Selasih selepas mencuri motosikal itu pada hari kejadian, tetapi dia berjaya meloloskan diri.

“Suspek dilihat menaiki motosikal sama di Lunas pada keesokan harinya, tetapi menggunakan nombor pendaftaran palsu. Orang ramai yang menyedari cuba mengejarnya tetapi dia melarikan diri sehingga ditahan petang semalam (kelmarin) apabila dikepung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Abdullah Arshad ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan curi motosikal diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 04-4916999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

– Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");