Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki berkata, pendirian Najib berhubung pelaksanaan perundangan syariah di Kelantan itu sudah tentu dinanti-nantikan semua pihak dan tidak menolak bahawa pandangan serong akan lenyap jika ia memihak kepada Pas.
“Yang Pas gembar-gembur kata kerajaan tidak islamik, kerajaan ini kerajaan sekular dan sebagainya, menuduh Umno tidak meletakkan Islam, tidak mendokong Islam dan sebagainya, kalau keputusannya positif ini satu tamparan kepada Pas.
“Sudah tentu keputusan dibuat itu rupanya tidak sebagaimana yang mereka (Pas) andaikan sebelum ini dan mungkin Pas akan melihat BN ikhlas memperjuangkan Islam. Saya rasa ini satu peluanglah (bentuk kerjasama dengan Pas) tetapi ini kalau keputusannya menyokong,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan bahawa BN akan mengumumkan pendirian parti itu berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan selewat-lewatnya pada Selasa lepas, namun sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan parti itu.
Dalam laporan Sinar Harian 29 Mac lalu, Pas turut meminta Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak segera menyatakan pendiriannya berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia kerana rakyat ternanti-nanti kenyataan dari pemimpin nombor satu negara itu.
Sitanya sama ada Umno dan BN bijak mengambil peluang terhadap keretakan yang berlaku kepada PR dalam isu hudud, beliau menjelaskan bahawa keadaan itu mungkin sukar terutama peluang bekerjasama dengan PR kerana wujud pendapat tidak seiring di pihak BN sendiri apatah lagi Gerakan dan MIC secara terbuka menyatakan penolakan.