Isu Panas

DAP, PKR Sabah bincang penubuhan PRB pada Isnin

KUALA LUMPUR: DAP Sabah akan mengadakan pertemuan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Isnin ini bagi membincangkan penubuhan Pakatan Rakyat Baharu (PRB) di negeri itu.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt berkata, ia merupakan langkah selepas PAS Labuan mengambil keputusan untuk menggantung sebarang kerjasama dengan DAP berikutan pertikaian pelaksanaan hudud dalam pakatan pembangkang.

“PAS Labuan telah membuat keputusan tidak mahu bekerjasama lagi dengan DAP, jadi pakatan baharu ini akan bergerak tanpa PAS.

“Namun pakatan ini tidak menolak kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang berminat,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, semalam.

Kelmarin, Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong Sze Phin yang juga anggota Parlimen Kota Kinabalu berkata akan wujud PRB dalam masa terdekat tetapi siapa yang menjadi rakan dalam PRB tidak boleh diumumkan lagi.

Jimmy yang dipetik dalam MalaysiaGazzette berkata: “Masanya akan tiba dan kami sendiri sudah tidak perlukan PAS.”

Stephen berkata pakatan pembangkang di Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi dan yakin langkah tersebut adalah rasional dan direstui DAP pusat.

Beliau yang juga anggota Parlimen Sandakan berkata isu hudud perlu diselesaikan segera kerana ia dianggap menggugat keharmonian rakyat Sabah.

“Kami di sini macam adik-beradik. Tiada isu apa-apa sebelum ini. Tapi bila isu ini timbul, ia menganggu hubungan kami,” katanya.

Selasa lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata DAP hilang kepercayaan terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mahu menghentikan sebarang hubungan dan kerjasama dengan beliau.

DAP mendakwa Abdul Hadi sebagai mengkhianati pakatan pembangkang dengan mengemukakan notis kepada Parlimen bagi membentangkan Rang Undang-undang Persendirian untuk pelaksanaan hudud di Kelantan.

-Astro Awani
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");