Sukan Hari Ini

F1: Ricciardo sedia hadapi tekanan di GP Australia

MELBOURNE: Pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo menegaskan mampu menghadapi tekanan beraksi di negara kelahirannya, Grand Prix Australia, hujung minggu ini namun menafikan peluangnya untuk memenangi perlumbaan pembuka musim 2015 itu.

Jaguh kelahiran Australia itu muncul pelumba utama pasukan Red Bull pada perlumbaan hujung minggu ini di Litar Albert Park, Melbourne selepas juara dunia empat kali, Sebastian Vettel berhijrah ke Ferrari.

Ricciardo hadir daripada pelumba yang tidak dikenali ketika perlumbaan GP Australia, musim lepas kepada pemenang tempat ketiga keseluruhan di belakang dua pelumba Mercedes, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg.

Ketiadaan Vettel membuka banyak peluang kepada Ricciardo yang kini menjadi fokus media tempatan di Australia namun dia menegaskan tiada begitu banyak perubahan apabila perlumbaan bermula.

“Sebaik saja saya berada dalam jentera, siap memasang topi keledar… dan menghidupkan enjin, saya boleh berada di mana saja di dunia,” katanya kepada wartawan.

“Ia berlaku ketika saya mempunyai tugas untuk diselesaikan dan saya fikir tekanannya sama di mana saja saya berada. Saya tidak merasa sebarang tekanan yang lebih berbanding tahun lepas, ia adalah satu langkah yang besar buat saya.”

Di Melbourne tahun lepas, Ricciardo menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua sebelum kemenangannya ditarik kerana didapati melanggar peraturan perlumbaan.

Begitupun, ia tidak melemahkan semangatnya yang berjaya mencuri tiga kemenangan daripada dominasi Mercedes iaitu di Kanada, Hungary dan Belgium

“Datang ke pasukan yang semua orang sentiasa bertanya soalan kepada saya. Mampukah saya menyamai kepantasan Seb? Bolehkan saya menaiki podium? Saya fikir saya banyak menjawab soalan seperti ini.

“Saya fikir saya sudah membuktikan yang saya mampu dan ketika ini apa yang menjadi penentu ialah berharap kami mempunyai peralatan yang diperlukan,” kata Ricciardo yang berpuas hati dengan pakej dimiliki Red Bull ketika ini ketika sesi latihan pra-musim. – AFP/berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");