Sukan Hari Ini

Faizal mungkin digugur

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) memberi gambaran awal bahawa penyerang sensasi negara, Faizal Saari tidak akan tersenarai dalam skuad kebangsaan bagi berdepan saingan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Edisi ke-24 yang bermula dari 2 sehingga 12 April depan.

Bagaimanapun menurut Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad, pihaknya akan menunggu kepulangan jurulatih sementara skuad kebangsaan, Tai Beng Hai bagi menentukan status sebenar pemain tersebut.

“Saya rasa Faizal tidak mempunyai masa yang banyak untuk melakukan persiapan bagi berdepan kejohanan itu nanti.

“Namun, kita akan tunggu jurulatih bagi membincangkan sama ada Faizal diperlukan atau tidak dalam kejohanan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya final Piala Milo di Stadium Hoki Bukit Jalil, kelmarin.

Menurutnya, jika Faizal tidak terpilih sekalipun, penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu masih boleh menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

“Kita ada perancangan jelajah Eropah selepas berakhirnya Piala Sultan Azlan Shah nanti.

“Sekiranya Faizal masih mahu bersama skuad kebangsaan dan Pusingan Ketiga Liga Hoki Dunia, dia perlu mengikuti segala program yang diaturkan oleh jurulatih,” katanya.

Kemelut Faizal bermula selepas skuad kebangsaan menjuarai kempen Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Singapura yang berakhir 25 Januari lalu.

Kontroversi membabitkan Faizal itu dipercayai berpunca daripada faktor belum memperoleh bayaran bonus yang dijanjikan.

Bagaimanapun pada 25 Februari lalu, Faizal yang dikatakan akan kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan selepas mengadakan pertemuan dengan MHC, namun tetap juga tidak muncul.

Faizal juga tidak tersenarai bagi menyertai skuad kebangsaan dalam kempen jelajah Australia sebagai persiapan menjelang Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah.

“Saya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan kita juga tidak menghadapi sebarang masalah terhadap permintaan ayah Faizal untuk berbincang,” kata Nur Azmi.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");