Membawang Hari Ini

Helena Bonham masih jadi pilihan

TIADA pendidikan formal dalam asas lakonan bukanlah penghalang untuk berjaya dengan cemerlang. Buktinya, bakat yang dimiliki oleh aktres terkenal pada era 1990-an, Helena Bonham Carter masih diperlukan sehingga kini.

Menariknya, penglibatan pelakon ini ke dalam dunia lakonan setelah memenangi pertandingan menulis di peringkat antarabangsa pada 1979.

Helena Bonham kemudiannya membuat kemunculan dalam A Pattern Of Roses ketika berusia 16 tahun namun berpeluang memegang watak utama melalui filem Lady Jane (1986).

Malah, wanita ini sangat berkarakter dalam setiap filem lakonannya sehinggakan watak-watak dibawanya cukup ‘melekat’ kepadanya seperti Bellatrix Lestrange dalam filem Harry Potter, Lucy Honeychurch (A Room With A View), The Red Queen (Alice in Wonderland), Enid Blyton (Enid), Mrs Lovett (Sweeney Todd: The Demon Barber of Fleet Street),Queen Elizabeth (The King’s Speech), Mme. Thénardier (Les Misérables) Dr Julia Hoffman (Dark Shadows) dan banyak lagi.

Seiring dengan peningkatan usia, aktres berusia 48 tahun itu menjelaskan, lakonannya menjadi lebih mantap apabila semakin berusia.

Bahkan, Helena Bonham sentiasa teruja apabila mendapat tawaran watak sebagai wanita berusia dan baginya itu membuktikan dia versatil walaupun di awal kemunculannya itu, dia tidak pernah merasa yakin kerana tidak berpengalaman.

“Watak ibu dan nenek? Saya tiada masalah langsung. Saya rasa semua orang dalam industri tahu saya ada peningkatan. Dan saya sebenarnya percaya, semakin saya berusia, saya menjadi pelakon yang bagus.

“Apabila saya berlakon dalam filem dengan pelakon yang banyak pengalaman, saya benar-benar rasa rendah diri. Saya akan sentiasa menunggu masa saya untuk menyerlah,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam menjana keyakinannya itu, bekas suaminya, Tim Burton merupakan sumber utama kekuatannya itu hadir.

Bagaimanapun, setelah 13 tahun membina hidup bersama dan dikurniakan dua cahaya mata Billy dan Nell, pasangan bercerai pada 2014.

Jadi pari-pari

Dalam perkembangan lain, Helena Bonham muncul sebagai pari-pari menerusi filem yang cukup dinanti-nantikan peminat cerita dongeng, Cinderella pada 12 Mac ini di semua pawagam di Malaysia.

Filem bergenre fantasi romantik itu diarahkan oleh Kenneth Branagh yang juga aktor senior Hollywood.

Berkongsi pengalamannya dalam membintangi filem tersebut, dia memberitahu, peminat filem itu akan berasa seperti sedang menonton kisah klasik Cinderella buat pertama kalinya.

“Saya masih menonton versi originalnya dan sangat menikmatinya. Saya sentiasa ternanti-nanti versi ini. Pengaruh Cinderella versi original sangat kuat. Saya tak sabar menunggu,” katanya.

Cinderella mengisahkan tentang Ella (Lily James) yang harus hidup bersama ibu tiri (Cate Blanchett) dan kedua anaknya, Anastasia (Holliday Grainger) serta Drisella (Sophie McShera). Setelah ayahnya meninggal, Ella yang awalnya senang memiliki keluarga baharu kemudian diperlakukan sebagai pembantu oleh ibu dan saudari tirinya.

Apakah yang bakal terjadi? Nantikannya di pawagam 12 Mac ini.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");