Jenayah

Ibu, anak jadi mangsa ragut

JOHOR BAHRU – “Selepas motosikal kami terbalik ditendang peragut, saya dah tak fikir apa kecuali mendapatkan umi yang terbaring kesakitan,” luah seorang anak yang menjadi mangsa ragut bersama ibunya di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, malam kelmarin.

Mohd Faiz Kelana, 24, berkata, dia menunggang motosikal bersama ibunya, Faridah Harith, 47, ke sebuah pasaraya membeli barangan keperluan harian untuk dibawa pulang ke kampung, semalam.

Bagaimanapun menurutnya, motosikal yang ditunggang bersama ibu ketika pulang sekitar jam 8.30 malam diekori dua lelaki dan sekelip mata menarik beg tangan ibunya yang diletakkan di tengah-tengah tempat duduk mereka.

“Saya syak peragut itu mengekori kami dari sebuah stesen minyak berhampiran pasaraya itu selepas saya singgah mengisi angin motosikal.

“Sebab itu mereka nampak beg tangan yang disembunyikan umi di balik tudung labuh yang dipakainya dan diletakkan di tengah-tengah tempat duduk antara saya dan umi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Faiz berkata, dia tidak berhenti mengajar ibunya mengucap dua kalimah syahadah dan berbual sambil meriba ibunya yang terbaring ketika menunggu kehadiran ambulans.

“Walaupun lega melihat kepala umi tak berdarah, tapi saya sangat bimbang dengan keselamatan umi yang ketika itu tidak mampu bergerak.

“Saya ajar mengucap dua kalimah syahadah dan ajak umi berbual kerana tak mahu umi tidur sehinggalah ambulans sampai,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa, Kelana Bakri, 50, berkata, Faridah dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana mengalami patah tangan dan jari kanan, selain kedua-dua kakinya tidak mampu bergerak selepas tulang belakangnya patah, manakala anak sulungnya cedera ringan.

Menurutnya, dia baharu menyerahkan wang sebanyak RM1,200 kepada isterinya untuk membayar yuran persekolahan anak-anak selepas menerima gaji, kelmarin.

“Saya tenang menerima ujian ini, tapi sedih melihat keadaan isteri terbaring kesakitan kerana selama ini dia adalah tulang belakang saya dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan mengagihkan sumbangan kepada orang susah.

“Saya sudah membuat laporan polis semalam di Balai Polis Pasir Gudang dan berharap polis dapat menangkap penjenayah tersebut,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");