Sukan Hari Ini

Jaga maruah negara – Razip

PETALING JAYA – Di atas kertas, hanya keajaiban dapat membantu skuad bawah 22 negara menumbangkan Jepun apabila mereka bertemu gergasi Asia itu dalam perlawanan terakhir pusingan kelayakan Kejohanan Bawah 23 AFC di Stadium Shah Alam malam ini.

Sekali pun masih berbaki sisa-sisa harapan, tiga mata malam ini belum tentu melayakkan Malaysia ke pusingan akhir di Qatar tahun depan kerana skuad Razip Ismail memerlukan kemenangan besar.

Jika Malaysia menang, tiga pasukan hampir pasti berkongsi enam mata termasuk Jepun, dan mengambil kira Vietnam yang dikendalikan jurulatih dari Jepun, Toshiya Miura dapat menumbangkan Macau pada pukul 5 petang ini.

Sebaliknya, satu-satunya perkara yang realistik untuk Razip ialah memastikan maruah skuad negara tidak dirobek oleh Samurai Biru andai kata tersungkur sekali pun di bumi sendiri.

Itu juga menjadi pengharapan Razip yang mengakui dia telah mengingatkan semua pemain agar memberi persembahan sehingga kudrat terakhir apabila bertemu Jepun yang diramal tidak akan berdepan masalah untuk menang ke atas skuad Harimau Muda.

“Bertemu Jepun, saya seru pemain ambil pengalaman dan cuba turun habis-habisan demi maruah negara, mana tahu mungkin ada rezeki kita dan pemain mampu membuat sesuatu.

“Saya sudah ada strategi untuk menyekat Jepun dan telah beritahu pemain, sama ada kita layak atau tidak, berilah persembahan sebaik mungkin berbanding apa yang dilakukan dalam dua perlawanan sebelum ini dan cubalah lakar sesuatu yang bermakna demi nama negara.

“Daripada pemerhatian saya mengenai pasukan Jepun ketika mereka menentang Vietnam dan Macau, semua bahagian pasukan itu berfungsi dengan baik, tidak banyak beza dengan skuad senior mereka,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan terakhir skuadnya di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam.

Razip dijangka menggunakan strategi bertahan bagi menyekat kemaraan Jepun selain bergantung harap kepada situasi bola mati dan serang balas untuk mendapatkan gol.

“Dalam sesi latihan terakhir hari ini, saya banyak tumpukan di bahagian pertahanan dan tengah, kalau kalah sekali pun, kita tidak mahu dibolosi jaringan yang banyak, dan dalam masa akan cuba menyerang.

“Kami ada kekuatan di bahagian set pieces (bola mati), mana tahu boleh dapat peluang melalui cara sedemikian dan mengamalkan gaya permainan serang balas, apa yang pasti saya akan gunakan ramai pemain ketika bertahan,” katanya.

Jurulatih Jepun, Makoto Teguramori pula mengambil pendekatan merendah diri dan menyifatkan Malaysia sebagai lawan yang sukar serta liat untuk dikalahkan.

“Perlawanan dengan Malaysia pasti sukar dan saya akan buat perubahan strategi serta berharap keadaan padang lebih baik.

“Mereka ada kelebihan beraksi di tempat sendiri dan mendapat sokongan padu daripada penyokong-penyokong,” katanya. – www.utusan.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");