Berita Hari Ini

Malaysia kaji model pengurusan bencana Jepun

TOKYO – Malaysia bersedia mengkaji model pengurusan bencana Jepun, sekali gus menubuhkan majlis khusus seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan majlis pengurusan bencana itu, bagaimanapun memerlukan penelitian yang mendalam sebelum dilaksanakan.

Ini kerana, kata beliau, Malaysia tidak memiliki undang-undang atau struktur pentadbiran yang khusus memberi tumpuan pada pengurusan bencana seperti yang ada di Jepun.

Jepun, jelas Muhyiddin, mempunyai undang-undang dan struktur pentadbiran khusus untuk menangani bencana yang diketuai sendiri oleh Perdana Menteri negara itu, Shinzo Abe.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, berbanding sekarang, segala urusan mengenai aspek keselamatan negara termasuk pengurusan bencana diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita akan teliti kerana sekarang kita tidak ada undang-undang khas tetapi kalau ada struktur governance (pentadbiran) kita kena kaji sama ada dengan peruntukan sedia ada memadai atau perlu perkukuhkan dengan undang-undang tertentu supaya lebih mudah dan berkesan dilaksanakan.

“Tidak seperti sekarang segala urusan diletak di bawah MKN. MKN lihat seluruh aspek keselamatan negara tetapi soal bencana saya fikir beban banyak sangat (untuk MKN tangani),” katanya dalam sidang akhbar pada akhir lawatan kerja beliau di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang mengadakan lawatan kerja ke negara ini sempena Persidangan Ketiga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pengurangan Risiko Bencana Dunia (WCDRR) sebelum itu menghadiri taklimat pengurusan bencana yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Bahagian Kabinet Jepun, Hirofumi Hihara.

Muhyiddin berkata, isu bencana mesti diuruskan dalam kerangka keselamatan, namun, ia harus memiliki struktur baharu.

Struktur baharu itu, jelas beliau, memberi tanggungjawab kepada pegawai yang diberi kuasa yang luas untuk mengendalikan segala urusan sumber manusia dan aset semasa berlaku bencana selain langkah-langkah susulan khususnya untuk memulihkan keadaan selepas banjir.

“Ini satu model yang boleh kita pelajari walaupun di Jepun malapetaka paling utama ialah gempa bumi tapi dia (Jepun) ada pengalaman banjir,” kata Timbalan Perdana Menteri lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia bersedia memeterai memorandum kerjasama pengurusan bencana seperti yang dicadangkan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Akihiro Ota. – utusan

-Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");