Berita Hari Ini

Melaka Berminat Jadikan Festival Layang-Layang Acara Tahunan

MELAKA 4 Mac – Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Festival La­yang-Layang Antarabangsa Melaka 2015 yang dianjurkan di Dataran 1Malaysia di Klebang hari ini sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, cadangan itu mampu dilaksanakan kerana kerajaan negeri bersama Persatuan Rakan Pelayang Melaka pernah meng­anjurkan festival layang-layang peringkat kebangsaan pada tahun lalu bersempena sambutan Hari Malaysia.

Menurutnya, sebagai sebuah negeri pelancongan, usaha membawa masuk Festival Layang-Layang Antarabangsa Melaka 2015 buat pertama kali ke negeri ini sangat disambut baik oleh kerajaan negeri.

“Setiap tahun Melaka telah menyediakan sebanyak 96 acara dalam kalendar pelancongan untuk menarik kedatangan pelancong.

Sekiranya festival layang-layang antarabangsa ini boleh dilaksanakan setiap tahun, ia boleh diletakkan dalam kalendar pelancongan Melaka dan Malaysia,” katanya.

Beliau berucap ketika menutup festival layang-layang berkenaan yang disertai lebih 100 peserta dari 33 buah negara. Yang turut hadir, Presiden Majlis Pelayang Malaysia, A. Rahim Nin dan Presiden Persatuan Rakan Layang-Layang negeri, Datuk Wong Soo Tang.

Festival layang-layang yang bertujuan memperkenalkan permainan tersebut dalam kalangan generasi muda tersebut, turut mempromosi Melaka kepada pelayang antarabangsa terlibat.

Bermula dari pukul 2 petang hingga 12 tengah malam ini, festival tersebut merupakan kesinambu­ngan festival seumpamanya yang berlangsung di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

Selain pelayang tempatan, antara pelayang luar negara yang terlibat adalah dari China, New Zealand, Jerman, Poland, Scotland, Jepun, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Menurut Idris, di sebalik penganjuran festival layang-layang itu, secara tidak langsung mampu menjana ekonomi penduduk setempat dengan memberi peluang kepada pemain dan mereka yang terlibat dalam industri perniagaan seperti perhotelan, pengangkutan awam dan lain-lain.

“Tahniah kepada pihak Pelancongan Malaysia kerana memilih negeri ini selain Johor sebagai destinasi festival pelayang kali ini dan saya berharap perkongsian para pelayang dengan kerajaan negeri ini akan memperoleh manfaat besar bagi memperkenalkan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan,” katanya.

-Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");