Jenayah

Merajuk sampai sesat dalam hutan

TENOM – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan yang hilang lebih 18 jam dalam hutan selepas keluar seorang diri dipercayai kerana merajuk dengan ibunya ditemui dalam keadaan menangis teresak-esak di kawasan hutan di Kampung Kuala Tolokoson, Kemabong dekat sini semalam.

Kanak-kanak berkenaan yang dikenali Healezry Zeandfly Henderi yang hanya bersinglet dan berseluar pendek itu ditemui pukul 10.25 pagi dengan jarak 300 meter dari rumahnya.

Dikatakan anak bongsu daripada dua beradik itu merajuk selepas dilarang mengikuti ibunya, Moina Barahin, 27, mema­suki tandas yang berada di luar rumah kerana ingin membuang air kecil.

Penempatan rumah kanak-kanak itu terletak kira-kira 36 kilometer dari Pekan Tenom, berada dalam persekitaran dipenuhi kebun getah dan hutan di bahagian hadapan rumahnya selain Sungai Padas di bahagian belakang rumah.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tenom, Aziz Ajap berkata, kedudukan kanak-kanak itu dikesan apabila pihaknya mendengar tangisan kira-kira 3 minit di kawasan penemuan.

“Sebaik mendengar tangisan tersebut, kami memanggil nama­nya sebelum dia menyahut de­ngan bunyi suara uhhhh,uhhhh.

“Berdasarkan sahutan itu, kami cuba mengesan kedudukannya sebelum melihat kepala kanak-kanak berkenaan dalam rimbunan semak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, sewaktu dihampiri, kanak-kanak itu berada dalam keadaan duduk sambil menangis dan pihaknya mengambil masa kira-kira dua minit bagi memujuk kanak-kanak lelaki terbabit sebelum membawanya keluar.

Tambahnya, Healezry dilihat dalam keadaan letih akibat kelaparan selain keadaannya yang kotor dan comot

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");