Sukan Hari Ini

Nadal akhir kemarau trofi juarai Terbuka Argentina

BUENOS AIRES: Sensasi tenis Sepanyol, Rafael Nadal menjulang gelaran pertamanya dalam tempoh hampir sembilan bulan dengan menjuarai Terbuka Argentina, awal pagi tadi.

Nadal yang juga pemain nombor tiga dunia menewaskan wakil tuan rumah, Juan Monaco 6-4, 6-1.

Kejayaan terakhir Raja Gelanggang Tanah Liat itu adalah di Grand Slam Terbuka Perancis, Jun tahun lepas dan gelaran di Argentina menjadi kejuaraan ke-65 sepanjang kariernya.

Jumlah itu menyaksikan Nadal kini menduduki tangga kelima dalam senarai kejuaraan terbanyak di Era Terbuka yang diungguli legenda Amerika Syarikat, Jimmy Connors (109) selain memiliki rekod sama dengan Bjorn Borg serta Pete Sampras.

“Mereka mempunyai sejarah yang menakjubkan,” kata Nadal mengulas kejayaan Sampras dan Borg. “Kerana itu adalah suatu kebanggaan untuk dibandingkan dengan mereka.”

Di gelanggang tanah liat, ia adalah kejuaraan ke-46 buat Nadal yang menyaksikannya muncul pemenang kedua terbanyak di Era Terbuka di belakang jaguh Argentina, Guillermo Vilas yang mempunyai 49 gelaran.

Begitupun, apa yang paling penting ialah kemenangan itu menunjukkan Nadal ketika ini menuju ke laluan yang sebenar.

Tahun lepas, pemain berusia 28 tahun itu mengharungi beberapa siri kecederaan selepas kejuaraan di Roland Garros termasuk tersingkir awal di Terbuka Qatar selain tumbang di suku akhir Terbuka Australia pada Januari.

Ranking dunia Nadal juga jatuh di kedudukan empat selepas kekalahan di separuh akhir Terbuka Rio, minggu lepas namun kemenangan di Argentina membawanya kembali ke kelompok tiga terbaik dunia.

“Saya datang dari musim yang bukannya mudah, kecederaan, insiden,” kata Nadal yang terpaksa berdepan kecederaan pergelangan tangan dan pembedahan apendiks pada tahun lepas.

“Awal tahun ini agak sukar untuk beberapa ketika namun sedikit demi sedikit kami memperoleh perasaan yang positif,” katanya. – AFP/berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");