Jenayah

Padah libas anak guna getah paip

KOTA BHARU – Padah buat seorang bapa kerana gagal menahan amarah hingga mencederakan anaknya dengan libasan getah paip, dia dihukum penjara 10 bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Hukuman terhadap Mohd Shah Ab Wahab, 30, diputuskan Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed selepas dia mengaku bersalah dengan menukar penafiannya sebelum ini.

Tertuduh didakwa memukul anak lelaki berusia 8 tahun di hadapan sebuah rumah di Kampung Sungai Belakang Taman Sari, Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 9.45 pagi, 10 November tahun lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu, ibu saudara mangsa yang sedang menjahit bantal di rumah tersebut dikejutkan dengan teriakan tertuduh memanggil nama mangsa. Pengadu sempat bertanya kepada mangsa, ‘kenapa tidak beritahu ayah (tertuduh) untuk datang ke rumahnya (rumah pengadu)’.

Mangsa yang mendengar namanya dipanggil terus menangis ketakutan, lalu bergegas ke arah tertuduh. Apabila keluar sahaja dari rumah, tertuduh terus mengambil getah paip di hadapan rumah dan memukul badan mangsa dengan sekuat hatinya sebanyak tiga kali.

Pengadu yang melihat keadaan itu menarik mangsa ke dalam rumah lalu mengunci pintu dan mengunci diri dalam bilik. Tertuduh mencari jalan untuk masuk tetapi gagal dan tidak lama kemudian dia beredar bersama seorang lagi anak perempuannya.

Pengadu melihat mangsa dalam keadaan kesakitan dan mengalami lebam serta kesan merah di betis kanan serta tangan kanan.

Selesai prosiding itu, mangsa yang hadir sebagai saksi bersama nenek dan ibu saudaranya sempat meminta untuk bertemu dengan tertuduh, namun kanak-kanak itu tiba-tiba menangis dan dipujuk untuk bersalam dengan bapanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");