Jenayah

Pasangan kantoi bawa 65kg ketum

Gerik: Seorang lelaki bersama pasangannya warga Thailand cedera selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terbabas ketika cuba melarikan diri daripada anggota peronda polis yang sedang membuat rondaan berhampiran Kilometer (KM) 30.9, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Kelantan, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 pagi, lelaki berusia 27 tahun bersama pasangan 23 tahun itu dipercayai bertindak demikian kerana bimbang dicekup polis kerana membawa 65 kilogram daun ketum.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, suspek memecut kereta sehingga sejauh 17 kilometer selepas ternampak kenderaan peronda polis.

”Dua anggota kami yang membuat rondaan di sekitar kawasan itu melihat tindakan mencurigakan sebuah kereta dari arah Gerik dan cuba menahannya untuk diperiksa, namun suspek tidak berhenti dan terus memecut laju ke arah Jeli menyebabkan anggota kami mengejarnya.

”Bagaimanapun, ketika tiba di KM30.9, tidak jauh dari Tasik Banding, kereta Proton Wira terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan manakala sepasang lelaki dan wanita yang berada di tempat duduk hadapan tersepit dan tidak boleh melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Abdul Manab berkata, akibat kejadian itu, kereta terbabit tercabut tayar depan sebelah kanan dan remuk di bahagian depan.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam bonet belakang kereta terbabit menemui daun ketum basah yang diisi di dalam 22 plastik hitam dengan anggaran berat 65kg.

Katanya, hasil soalsiasat mendapati suspek lelaki berasal dari Tanah Merah, Kelantan manakala teman wanitanya dari Thailand.

Kedua-dua suspek terbabit dibawa ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar kerana cedera di badan akibat cermin kereta pecah dan tersepit di tempat duduk.

”Kami masih menyiasat sama ada daun ketum itu yang dianggarkan bernilai RM3,250 diambil dari Kedah untuk diseludup ke Thailand.

”Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih empat tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");