Sukan Hari Ini

Pemain negara bungkus awal

CABARAN Malaysia pada Kejohanan Badminton All England berakhir selepas wakil terakhirnya, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing tersingkir pada pusingan kedua di Birmingham, semalam.

Beregu campuran negara itu tumpas di tangan pasangan berpengalaman China yang juga pilihan pertama, Zhang Nan-Zhaoi Yunlei, 13-21, 14-21, dalam pertarungan selama 41 minit.

“Mereka kuat dan kami pula tidak bermain dengan baik hari ini (semalam). Banyak perkara perlu dipertingkatkan dalam permainan kami,” kata Pei Jing.

Harapan yang diletak di bahu beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk memberi keceriaan kepada sukan badminton tanah air yang sedang melalui tempoh sukar, terutama selepas penggantungan Datuk Lee Chong Wei, turut menghampakan apabila tumbang di tangan gandingan Denmark, Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding pada pusingan kedua.

Conrad Petersen-Pieler Kolding hanya mengambil masa 37 minit untuk menghantar pulang pasangan negara selepas mencatat kemenangan, 21-15, 21-13.

Kekalahan itu bermakna V Shem-Wee Kiong masih lagi gagal menamatkan kemarau beregu lelaki negara merangkul gelaran pada kejohanan bertaraf Siri Super Premier itu.

Kali terakhir beregu lelaki negara menjulang trofi berprestij itu ialah melalui Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007 yang mengalahkan pasangan sensasi China, Cai Yun-Fu Haifeng, 21-15, 21-18.

Ketua jurulatih beregu negara, Jeremy Gan berkata, pasangan itu tidak menunjukkan prestasi sebenar mereka, sekali gus menyebabkan pemain lawan mampu mengutip mata dalam tempoh singkat.

“Mereka tidak bermain dengan baik dan ini menyebabkan mereka tewas mudah kepada lawan dengan straight set.

“Malah pasangan kita terlalu banyak melakukan pertukaran corak permainan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");