Berita Hari Ini

Pemukiman AEC yakin ekonomi kukuh

KOTA BHARU – Pemukiman Menteri-menteri Ekonomi Asean ke-21 melahirkan keyakinan pertumbuhan ekonomi Asia masih kekal bertahan meskipun berdepan cabaran hebat berikutan kelembapan ekonomi global dan geopolitik.

Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, malah pemukiman kali ini juga turut memfokuskan kepada penyatuan dalaman secara menyeluruh berkaitan ekonomi di rantau ini.

“Ini adalah bertujuan membantu kepada kestabilan ekonomi dan membawa manfaat kepada komuniti Asean dalam perkongsian rangkaian ekonomi yang lebih sihat sesama negara anggota.

“Dalam masa sama, Malaysia turut mencadangkan penubuhan mikro bank bagi membantu mengembangkan lagi urus niaga usahawan industri kecil dan sederhana (SME),” katanya kepada media semalam.

Turut bersama, Timbalan Ketua Setiausaha Asean, Dr Lim Hong Hin sebelum melakukan lawatan ke Kompleks Imigresen ICQS Rantau Panjang bersama delegasi.

Menurut Mustapa yang juga Pengerusi Pemukiman kali ini, melalui cadangan baharu tersebut diharapkan semua kumpulan SME mendapat manfaatnya selain memudahkan segala urusan mengembangkan perniagaan.

“Namun cadangan ini masih lagi di peringkat awal dan akan dilaksanakan apabila mendapat persetujuan daripada semua pemimpin yang terlibat,” katanya.

Katanya, sekarang ini negara anggota sudah mempunyai pendekatan sendiri bagi membantu perusahaan kecil dan mikro, malah Malaysia sudah lama memperkenalkan skim tersebut.

“Menerusi skim tersebut bank koperasi dan kemudahan kredit khususnya bank menawarkan perniagaan daripada RM500 hingga RM50,000 untuk urusan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Mustapa juga memberitahu, barisan pemimpin Asean tersebut turut menjangkakan prestasi ekonomi meningkat kepada 5.1 peratus mengatasi unjuran pertumbuhan dunia iaitu 3.5 peratus.

“Jangkaan ini berdasarkan kepada kemantapan pemulihan ekonomi maju di Amerika Syarikat dan berpandukan kepada beberapa langkah rangsangan dasar dalam zon Eropah dan Jepun,” katanya.

Dalam masa sama, beliau juga mengalu-alukan kemajuan yang mantap dibuat dalam melaksanakan Rangka Tindakan AEC, khususnya dalam langkah-langkah utama yang menjadi kepentingan oleh negara Asean.

“Penubuhan rasmi AEC menjelang akhir 2015 menandakan satu peristiwa penting dalam usaha Asean memenuhi matlamat sebuah rantau bersepadu, yang terkandung di bawah motto ‘Visi Kita, Identiti Kita, Komuniti Kita’,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");