Sukan Hari Ini

‘Pengadil rosakkan perlawanan’

JURULATIH Harimau Malaya, Dollah Salleh (gambar kecil) tanpa berselindung meluahkan rasa kecewa terhadap pengadil, Shukri Huseein Alhunfush yang dianggap penyebab utama kekalahan besar 0-6 pasukannya di tangan Oman dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Al-Sheeb kelmarin.

Ini kerana, Dollah menganggap Shukri Huseein telah membuat keputusan yang salah kerana memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah, sekali gus jaringan kedua menerusi Abdul Aziz Al Muqbali pada minit ke-42 telah membunuh semangat juang anak-anak buahnya.

Bagaimanapun, bekas pengendali Pahang, Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu tetap mengakui kehebatan Oman yang mana Dollah percaya jurang Harimau Malaya begitu jauh ketara jika dibandingkan dengan skuad kendalian Paul Le Guen yang memiliki kualiti hampir setanding dengan Australia, Jepun dan Korea Selatan.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Oman. Mereka melakukan dengan bagus. Mereka mengambil segalanya untuk memenangi perlawanan ini dan saya mengakui Oman adalah lebih bagus berbanding kami.

“Cuma, satu perkara sahaja iaitu pengadil (Shukri Huseein) telah merosakkan semangat kami sebenarnya dan memberikan kesan kepada moral kami.

“Berdasarkan pencapaian malam ini (malam kelmarin), saya fikir Oman boleh menandingi Korea Selatan dan Australia, persembahan mereka agresif,” katanya.

Mengulas mengapa skuad Harimau Malaya langsung tidak menyerang kubu Oman pada aksi separuh masa kedua, Dollah sekali lagi mengulangi pendirian bahawa Shukri Huseein telah ‘membunuh’ semangat juang anak-anak buahnya untuk kembali bangkit.

“Oman beraksi cukup baik tetapi pengadil telah merosakkan semangat perjuangan kami untuk menentang balik. Namun, pada masa yang sama, saya juga mengakui jurang Oman dan Malaysia begitu jauh. Pengadil telah merosakkan moral kami. Saya sendiri mahu melihat pemain-pemain saya berjuang kembali tetapi mereka gagal berbuat demikian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dollah mengakui beliau mahu lebih berhati-hati untuk mengadakan aksi persahabatan yang mana persiapan singkat dilihat memberikan kesan buruk kepada pasukan bimbingannya.

Selain itu, Dollah turut sempat memuji persembahan dua pemain Johor Darul Takzim II iaitu Muhammad Akram Mahinan dan Che Rashid Che Ismail yang dilihat memiliki peluang cerah untuk ‘melekat’ bersama skuad kebangsaan.

“Selepas ini kita akan nilai kembali (kekalahan kepada Oman). Kalau kita lihat, saya tidak mahu lagi menyaksikan kekalahan ini berulang. Malah, saya tidak mahu lagi sekadar persiapan tiga hari untuk aksi persahabatan antarabangsa. Saya akan pastikan sekurang-kurang dua minggu persiapan untuk berlatih bersama dan selepas itu boleh lawan sesiapa sahaja,” ujarnya.

-Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");