Jenayah

Penganggur ugut isteri, anak dijel

KOTA BHARU – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengamuk dan mengancam untuk mencederakan isteri dan anaknya menggunakan tukul besi pada Khamis lalu.

Majistret Mohd. Firdaus Zainal Abidin menjatuhi hukuman tersebut ke atas Mohd. Karim Yusoff, 46, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Mohd. Firdaus menjatuhkan hukuman lima bulan terhadap Mohd. Karim atas tuduhan mengancam mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Shahrizad Arifin, 42, dan lima bulan lagi atas tuduhan mengancam mendatangkan kecederaan kepada anaknya, Mohamad Danial Hasiff, 15.

Menurut pertuduhan pertama, Mohd. Karim didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mencederakan Shahrizad yang merupakan seorang suri rumah di sebuah rumah di Kampung Gong Jerat, Pengkalan Chepa di sini pada pukul 5.30 petang, 26 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, penganggur itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan Mohamad Danial Hasiff pada pukul 7 malam hari yang sama di tempat yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

-Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");