Jenayah

Peragut pukul warga emas guna botol kaca

KULAIJAYA – Seorang warga emas menerima tujuh jahitan di muka selepas cedera akibat dipukul peragut menggunakan botol kaca sejurus pulang daripada membeli sarapan dalam kejadian di Kampung Baru Saleng, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, mangsa, Chai Chui Mue, 70 berkata, akibat tindakan peragut itu, dia terjatuh namun masih berjaya memegang beg plastiknya yang hanya berisi sebotol air mineral dan wang kira-kira RM10.

Menurutnya, sambil menahan sakit malah muka dipenuhi darah, mangsa menjerit sekuat hati apabila peragut yang menunggang motosikal bersendirian datang mendekatinya yang telah terjatuh untuk merampas beg dipegang namun jeritannya membuatkan peragut melarikan diri.

“Saya masih mampu mengecam muka peragut itu, walaupun berasa amat sakit dan muka telah berlumuran darah. Dia tidak menutup wajahnya dan hanya memakai topi. Dua hari sebelum kejadian saya pernah terserempak dengannya semasa pulang daripada bersenam.

“Ketika itu, lelaki terbabit cuba merapati saya ketika sedang membuka pagar, namun saya berjaya masuk terus ke dalam rumah. Pada hari kejadian saya hanya beberapa meter daripada rumah iaitu di hadapan kediaman jiran.

“Lelaki itu tiba-tiba datang menaiki motosikal dan mengeluarkan botol sebelum memukul muka saya, sedangkan ketika itu saya tidak langsung memakai barang kemas. Saya hanya membawa beg plastik dan bungkusan makanan,” katanya.

Chui Mue berkata, dia bernasib baik apabila jeritannya itu disedari jiran dan dibantu seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Mangsa mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah dan dia dibenarkan pulang apabila keadaannya bertambah baik pada keesokan harinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintenden Razak Md Said berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan pihaknya kerana mendatangkan kecederaan dan cubaan ragut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 393.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");