Perak Hari Ini

Perak Wujud Jawatankuasa Khas Rungkai Masalah Teknikal Penswastaan Pengurusan Sisa Pepejal

IPOH: Kerajaan Perak bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang melibatkan penyertaan pihak pembangkang bagi merungkai persoalan teknikal dalam proses penswastaan pengurusan sisa pepejal di negeri tersebut.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, penswastaan pengurusan sisa pepejal belum dapat dilaksanakan disebabkan oleh beberapa perkara yang memerlukan perhatian dan penilaian oleh pihak berkuasa negeri.

Ujarnya lagi, pandangan balas juga telah diperolehi dan keputusan mewujudkan satu jawatankuasa khas adalah berpandukan kajian yang telah dilakukan tersebut.

“Jawatankuasa ini juga akan melibatkan pihak perbadanan iaitu Perbadanan Pengurusan Sistem Pepejal dan juga berkemungkinan akan disertai oleh jawatankuasa pihak konsesi berkenaan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, hari ini

Menurutnya lagi, pengurusan sistem sisa pepejal kini adalah berlandaskan kepada akta yang diwujudkan selama ini.

“Ia merupakan akta yang diputuskan sebelum ini dan pihak kerajaan negeri sedia mendengar kembali pembentangan yang dijalankan Perbadanan Sistem Pepejal berhubung perkara ini,” katanya.

Katanya lagi, pertukaran pandangan dan buah fikiran mengenai cadangan tersebut akan diadakan sebelum ia dilaksanakan kelak.

Kerajaan negeri juga bakal mewujudkan satu lagi jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Ahli Exco negeri, Datuk Rusnah Kassim dan dianggotai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terpilih yang mewakili pihak pembangkang dan kerajaan.

“Isu ini mempunyai kepentingan awam dan bagi menjaga kepentingan negeri, ia seharusnya diperhalusi dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan pandangan negatif,” tambahnya.

Cadangan tersebut juga katanya, melibatkan Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan (PBT) yang telah membuat kajian awal sebelum ini.

“Selain itu, cadangan berkenaan mesti memberi kebaikan dan tidak membebankan rakyat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");