Membawang Hari Ini

Perjuangan 16 adik-beradik

NAMA Generasi Harapan mungkin kedengaran agak asing dalam industri nasyid negara.

Bahkan, tidak keterlaluan jika ada yang masih tertanya-tanya siapakah gerangan kumpulan nasyid itu.

Mungkin masih baharu di negara sendiri, hakikatnya kumpulan nasyid adik-beradik ini sudah mula mencipta nama sejak 2009 lagi.

Malah, lebih mengejutkan lagi, kumpulan nasyid ini sebenarnya sudah lama mendapat tempat di hati peminat terutamanya di luar negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei, Australia, United Kingdom, Perancis dan negara-negara di Timur Tengah.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan yang dianggotai 16 adik-beradik ini juga lebih selesa memasarkan empat album mereka sebelum ini di luar negara.

Salah seorang ahlinya, Muhammad Ajwad memberitahu, situasi itu terjadi ekoran semua adik-beradiknya itu banyak menghabiskan masa di luar negara kerana terikat dengan pelbagai komitmen.

“Semua ahli kami ada yang masih belajar dan bekerja di sana terutamanya di Jordan.

“Alhamdulillah, empat album kami sebelum ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat di sana.

“Semua album itu dihasilkan dalam pelbagai bahasa termasuklah Melayu, Inggeris, Arab, Turki dan Perancis,” katanya kepada Zass.

Menurutnya, selain menyanyi, semua ahli Generasi Harapan juga mempunyai kebolehan dalam pelbagai bakat lain seperti terlibat secara aktif dalam lakonan, teater, drama, penulisan skrip, tarian, bermain alat muzik, mencipta dan menggubah lagu serta sukan berkuda.

Sehubungan itu, Generasi Harapan turut mengorak langkah dengan menubuhkan pusat latihan, Akademi Generasi Harapan yang bertujuan untuk memberi peluang, pendedahan dan melatih remaja dalam bidang yang diminati oleh mereka.

“Kami menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam seni budaya seperti sistem audio, multimedia, penggambaran fotografi dan video serta penulisan skrip.

“Sehingga kini, akademi ini sudah pun bertapak bukan saja di Malaysia tetapi juga di luar negara seperti Indonesia, Australia, Jordan, Turki, Eropah dan United Kingdom,” katanya.

Terbaharu, katanya, Akademi Generasi Harapan kini mula menceburi bidang perniagaan khususnya dalam bidang pengurusan restoran iaitu GH Corner.

“Alhamdulillah, kini GH Corner sudah mempunyai tujuh cawangan yang mana lima daripadanya terletak di Kedah, Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak manakala selebihnya di Indonesia,” katanya.

Tambahnya, pembangunan Akademi Generasi Harapan bertujuan untuk melahirkan generasi pembela ALLAH SWT dan Rasul bagi mempersiapkan diri sebagai pewaris kepada agama, bangsa dan negara.

Siri jelajah Malaysia

Masih berfokus untuk lebih dikenali di negara sendiri, Muhammad Fida’uddin memberitahu, Generasi Harapan mengambil keputusan untuk melancarkan album kelima, Takkan Terputus Lagi Hati Dengan-Mu di Malaysia.

Katanya, keputusan itu diambil kerana kepulangan sebilangan ahli kumpulan nasyid itu ke tanah air sejak 2013.

“Buat masa ini, hanya kami berempat yang baharu pulang ke Malaysia.

“Ahli-ahli yang lain masih lagi terikat dengan pelbagai komitmen lain seperti bekerja dan belajar.

“Setakat ini, kami masih belum merancang untuk pulang ke Jordan,” katanya.

Berbicara mengenai albumnya itu, Ummu Barokah memberitahu, album terbaharu mereka itu menggabungkan kesemua ahli Generasi Harapan.

“Semua ahli Generasi Harapan terlibat dalam pembuatan album ini yang meliputi pelbagai aspek seperti nyanyian, mencipta dan mengubah lagu serta bermain alat muzik.

“Oleh kerana tidak semua dapat berkumpul, rakaman lagu hanya dapat disiapkan di studio kami di Manchester United, Jordan, Turki, Indonesia dan Selangor mengikut di mana ahli berada,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Fat_hiyyah berkata, album itu mengandungi 17 lagu dan ia dihasilkan bukanlah bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

“Antara lagu yang menarik adalah Nama Mu ALLAH, Palestin Kita Tercinta, Wahai Jiwa, Kemuliaan Rasul, Roda Kehidupan, Tipu Daya Dunia, Kesukaan ALLAH, Keluarga Suci, dan Tuhankan Ada.

“Matlamat utama kami adalah untuk menyampaikan mesej selain berusaha mendapat tempat di hati peminat di Malaysia

“Adalah menjadi harapan kami supaya dengan kelahiran album ini dapat disampaikan kepada masyarakat pada setiap peringkat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Generasi Harapan bakal mengadakan siri jelajah mengelilingi Malaysia bagi mempromosikan album mereka.

Selain itu, mereka juga bakal melancarkan album kelima ini di Jakarta dan Pekan Baru, Indonesia pada 29 Mac dan 11 April depan.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");