Sukan Hari Ini

Razip intai kemenangan sulung

KETUA jurulatih skuad Bawah 22 (B-22) negara, Razip Ismail mengintai peluang untuk kutipan tiga mata pertama berdepan Vietnam pada aksi pembukaan Kumpulan I pusingan kelayakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2016 di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Pengendali berusia 52 tahun itu menegaskan, kemenangan sulung dalam kempen kelayakan tersebut mampu melonjakkan motivasi pemain muda negara dalam memburu slot pusingan akhir kejohanan di Qatar, Januari tahun depan.

“Kita bagaimanapun harus berhati-hati kerana kita tahu Vietnam adalah salah satu pasukan yang kuat dan turut berhajat mahu ke pusingan akhir kejohanan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas sesi latihan skuad berkenaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.

“Pada saya, kita perlu memulakan kempen ini dengan keputusan positif iaitu sekurang-kurangnya tiga mata bagi dibawa ke perlawanan seterusnya,” jelas bekas pengendali pasukan Kuala Lumpur itu.

Razip berkata pemain kini berada dalam prestasi terbaik sekembalinya daripada dua aksi persahabatan sebelum ini.

Skuad B-22 negara kalah 3-0 kepada pasukan B-20 Myanmar pada aksi pertama di Stadium Thuwunna, Yangon, Khamis lepas, sebelum seri 1-1 berdepan skuad B-22 Myanmar, tiga hari kemudian.

“Paling penting, semua pemain bebas daripada kecederaan dan boleh beraksi pada perlawanan kelayakan itu nanti,” kata Razip.

Selepas berdepan Vietnam, Malaysia dijadualkan menentang Macau pada 29 Mac sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan berdepan Jepun, dua hari kemudian dan kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Shah Alam.

Berdasarkan format kejohanan, juara daripada setiap 10 kumpulan serta lima pasukan kedua terbaik layak beraksi di pusingan akhir nanti. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");