Perak Hari Ini

Semua Pihak Lega Perselisihan Faham Ustaz Kazim, Dr Mohd Asri Selesai

IPOH: Perbalahan antara penceramah terkenal, Datuk Kazim Elias dan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berakhir dengan pertemuan kedua-dua pihak di Kangar, Perlis malam tadi mendapat reaksi positif daripada semua pihak.

Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), antara pihak yang melahirkan rasa gembira selepas kemelut antara kedua-dua tokoh agama itu berakhir dengan cara yang baik.

Pengerusinya, Datuk Azhar Ahmad, berkata, pertemuan yang berlangsung malam tadi mampu memberi sinar baru kepada usaha dakwah Islam di negara ini.

“Minggu lalu kita digemparkan dengan isu yang dibangkitkan oleh Mufti Perlis yang menyatakan Ustaz Kazim sering menggunakan riwayat palsu.

“Perkara ini telah menjadi viral di media sosial hingga menimbulkan keraguan kepada rakyat umumnya.

“Kami di pihak KADIR berasa amat gembira melihat kedua-dua tokoh agama telah mengadakan perjumpaan dan akhirnya masalah itu dapat diselesaikan dengan baik mengikut lunas agama Islam.

“Sudah tentu, kita sebagai orang awam akan berasa bahagia melihat mereka bersalam-salaman dan berbaik-baik semula,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Jelasnya, masalah itu hanya satu isu yang kecil tetapi menjadi besar kerana dimainkan di media sosial hingga seolah-olah dilihat cuba melaga-lagakan dua tokoh agama berkenaan.

“Kedua-dua ulama ini perlu dihormati kerana ilmu mereka dan perkara yang berlaku hanya akan merugikan kita.

“Usaha dakwah menjadi terbantut apabila berlakunya isu seperti ini.

“Ada manusia yang tidak suka dengan usaha dakwah dan berasa iri hati hingga membangkitkan isu berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata, perselisihan faham berkenaan tidak perlu panjangkan kerana ia akan mendatangkan banyak keburukan.

“Allah telah berfirman iaitu jika berlaku perselisihan faham, hendaklah kembali kepada Al-Quran.

“Jadi jika salah faham, kita kembali kepada Al-Quran dan saling bermaaf-maafan.

“Tetapi jika dipanjang-panjangkan hal tersebut contohnya dalam laman sosial Facebook… jadi kesannya akan berpanjangan yang akhirnya menyebabkan rakyat menjadi keliru,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan mengatur program yang melibatkan kedua-dua tokoh agama tersebut jika mendapat persetujuan daripada mereka.

Malam tadi, Datuk Ustaz Kazim Elias telah mengadakan perjumpaan dengan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagi menyelesaikan perbalahan yang digembar-gemburkan oleh media massa sejak kebelakangan ini.

Dr MAZA telah mengemaskini laman sosial Facebooknya berkenaan pertemuan beliau dengan Ustaz Kazim Elias di sebuah Cafe di Kangar:

“‘Minum dan tersenyum’. Saya alhamdulillah menerima tetamu istimewa malam ini Datuk Kazim Elias di Kangar, Perlis. Turut sama Dato Dr Asyraf Wajdi yang diPertua YADIM. Kami minum dan makan dengan mesra sebagai saudara muslim di cafe yang sedap menunya, Cafe Blackwood, Kangar,”.

Pertemuan itu turut disertai Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");