Jenayah

Sindiket jual hidupan liar atas talian tumpas

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (Perhilitan) berjaya mematahkan rangkaian utama pembekal hidupan liar yang menjualnya secara haram di internet.

Kejayaan itu susulan tangkapan tujuh individu yang disyaki terlibat menjual hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya secara haram melalui Facebook dan laman sosial lain.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tangkapan dilakukan hasil risikan dan pemantauan sepanjang Operasi Taring bermula 2 Januari 2015 sehingga 12 Mac lalu.

“Hasil tangkapan, Perhilitan menyita 59 hidupan liar antaranya buaya tembaga, mengkira, kucing batu dan beruang matahari.

“Pelbagai spesies burung turut disita antaranya burung barau-barau, serindit, bayan dan helang,” katanya.

Menurut Abdul Kadir, mereka yang ditahan disyaki menjadi pembekal utama yang bergiat aktif menjual hidupan liar secara haram menerusi atas talian di sekitar Ampang, Kajang, Bentong, dan Nilai.

“Menerusi operasi ini, kita juga mengenal pasti 11 akaun Facebook yang bergiat aktif menjual hidupan liar.

“Antaranya Pasar Unggas Malaysia, Kedai Burung Malaysia, Musang Stylo, Forever Pet, Mbah Dukun, Dinend Sivali dan Bany Isz,” katanya.

Beliau berkata, penjualan hidupan liar secara haram terutamanya di Facebook semakin meningkat, namun masih terkawal.

“Hasil operasi kita turut menyita tiga kenderaan yang digunakan dalam urusniaga haram ini,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");