Perak Hari Ini

Sokongan Penuh Diberi Terhadap Kepimpinan Palanivel

IPOH: Peringkat bahagian parti MIC di beberapa negeri sudah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Presiden, Datuk Seri G. Palanivel.

Palanivel berkata, pihaknya telah menganjurkan siri lawatan di semua peringkat kepimpinan MIC di beberapa buah negeri.

“Saya telah menemui 520 ketua cawangan termasuk 16 ketua bahagian pada perhimpunan yang berlangsung di Ipoh hari ini dan mereka juga sudah menyatakan sokongan kuat terhadap kepimpinan saya.

“Antara negeri yang sudah dilawati termasuklah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak dan Kedah dengan anggaran 2,292 ahli yang berikrar berdiri teguh di belakang saya,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bersama Persiden MIC dengan Badan Perhubungan MIC Negeri Perak yang berlangsung di Hotel Kinta RiverFront di sini, hari ini.

Katanya, terdapat pihak yang cuba melakukan sesuatu yang tidak elok dengan menjatuhkan kariernya sebagai ahli politik.

“Saya dapati ada pihak tertentu yang cuba melakukan perkara yang menyalahi undang-undang hingga Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masuk campur.

“Saya telah berbincang dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan menyatakan bahawa ROS tidak boleh masuk campur dalam masalah ini,” ujarnya.

Beliau berharap akan memperoleh kemenangan yang cemerlang dalam pemilihan semula jawatan parti itu yang dijadual berlangsung antara April dan Julai nanti.

“Saya harap agar kita akan dapat kemenangan di semua peringkat pada April nanti,” tambahnya.

Krisis dalaman MIC telah tercetus apabila ROS membatalkan pemilihan bagi beberapa jawatan dalam parti berkenaan antaranya tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Berlaku perbezaan pendapat berkenaan isu pembatalan CWC yang diwujudkan pada Perhimpuan Agung yang berlangsung di Melaka pada bulan November 2013.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");