Perak Hari Ini

Tiada Kenaikan Harga Penginapan Bagi Hotel Bajet: Nolee

IPOH: Kadar bayaran bagi penginapan di hotel bajet di seluruh negeri tidak akan dinaikkan walaupun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan mulai 1 April depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, keputusan berkenaan dicapai selepas mendapat persetujuan daripada Persatuan Hotel Bajet Negeri Perak.

“Mereka memberi jaminan tidak akan menaikkan harga bilik di seluruh negeri.

“Ini merupakan satu perkara yang perlu diwar-warkan kepada semua kerana persepsi umum adalah apabila GST dilaksanakan, semua benda akan naik harga,” katanya.

Beliau berkata, tanggapan tersebut tidak tepat berikutan kadar bayaran bagi penginapan hotel bajet di Perak tidak akan meningkat.

“Kita harap ia tidak akan menjejaskan sektor pelancongan khasnya di negeri Perak,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir dalam taklimat GST kepada pengusaha pelancongan dan pengembaraan Perak di Hotel Exelsior Ipoh di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ujar beliau lagi, taklimat tersebut dapat memberi pendedahan kepada penggiat industri pelancongan berhubung pelaksanaan GST dalam industri pelancongan dan pengembaraan.

“Taklimat ini diadakan selepas kita mengadakan pertemuan dengan pihak MATTA.

“Kita lihat ramai lagi peserta dan pemain industri yang masih kabur mengenai bagaimana untuk mengimplilasikan GST tanpa menjejaskan industri pelancongan secara keseluruhannya di Perak.

“Saya difahamkan ia akan menggantikan cukai sedia ada yang dikenali sebagai ‘servis tax’ yang sememangnya kita sudah bayar, ” tambah beliau.

Beliau juga turut mengulas berkenaan dakwaan jumlah pelancong ke Perak akan merosot selepas GST diperkenalkan.

“Kita lihat ia disebabkan persepsi bahawa barang akan naik, sekaligus turut memberikan kesan kepada perancangan perbelanjaan harian pengguna.

“Jika dilihat daripada segi perbelanjaan tersebut, mungkin bercuti tidak lagi menjadi satu kepentingan kepada mereka.

“Kalau selalunya mereka bercuti dua kali setahun pada cuti persekolahan yang panjang dan selepas ini, ia mungkin akan berkurangan kepada sekali sahaja.

“Hal ini sedikit sebanyak akan menjejaskan jumlah pelancong,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menggesa kepada pengguna supaya membuat keputusan yang bijak dan berhati-hati kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan dengan pelaksanaan GST.

“Kita perlu memainkan peranan dan saya harap kuasa pengguna itu digunakan sepenuhnya.

“Sekiranya kita perlu membuat aduan, lakukan dan begitu juga dengan usaha boikot,” kata beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");