Jenayah

Tiga unit rumah hangus

GOMBAK – Tiga unit rumah di Gombak Indah di sini hangus dalam kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah sewa sebelum merebak ke dua unit berhampiran sekitar jam 3 petang semalam.

Mangsa, Ahmad Ahmad Nabawi, 80 berkata, dia bersama dua anaknya menyedari kejadian sewaktu terdengar jeritan orang ramai memaklumkan rumah jirannya terbakar.

Menurutnya, jaraknya yang terlalu hampir menyebabkan api cepat marak dan dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan.

“Saya tengah tidur dalam bilik sebelum anak jerit kata rumah sebelah terbakar. Saya tengok kepulan asap dah tebal tapi belum merebak ke rumah lagi. Disebabkan panik saya hanya terfikir selamatkan diri saja, tak teringat nak ambil apa-apa barang berharga.

“Ubat-ubatan, pakaian dan geran semua hangus terbakar, tapi mujurlah kereta sempat dialihkan salah seorang anak saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, buat sementara dia akan menumpang di rumah seorang lagi anaknya sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“Tak tahu nak anggarkan kerugian berapa, tapi saya dah duduk sini sejak tahun 1987 lagi dan geran juga telah diperoleh, premium juga sudah dibayar.

“Walaupun sedih namun saya bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya.

Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba Selayang, Narmizi Hamzah berkata, sebanyak empat unit terlibat, tiga daripadanya hangus seratus peratus sementara seunit lagi alami kerosakan kecil.

“Panggilan diterima jam 3.08 minit dengan jentera pertama dari Rawang tiba ketika rumah sudah 50 peratus terbakar sebelum jentera dari Selayang dan Gombak Selatan tiba. Bantuan turut diterima dari balai Sri Hartamas yang membawa lori tangki.

“Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya jam 5 petang. Tiada sebarang kemalangan nyawa dilaporkan,” katanya.

Turun hadir ke lokasi Adun Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan bagi meninjau bantuan atau keperluan utama yang diperlukan mangsa.

Katanya, dua keluarga akan ditempatkan ke dewan sementara satu keluarga lagi akan menumpang di rumah saudara.

“Kita juga akan memantau keperluan harian kepada mangsa dengan kerjasama dan bantuan dari JKM serta Lembaga Zakat untuk bantuan bersesuaian,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");