Sukan Hari Ini

Tukar Boateng bukan satu hukuman

PELANTIKAN jurulatih The Red Warriors (TRW) yang baharu, Mohd Azraai Khor Abdullah bagi mengendalikan skuad Liga Super musim ini bukan satu bentuk hukuman terhadap pengendali sebelumnya, George Boateng.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi yang telah ditunjukkan bekas pemain antarabangsa Belanda itu selepas bersama hampir setahun.

Namun, hasil maklum balas pegawai dan pemain TRW dalam pertemuan sebelum ini, katanya, rata-rata berpandangan TRW boleh beraksi lebih baik jika wujud suasana baru.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan maklum balas yang saya terima setelah berbincang dengan pegawai dan pemain. Mereka merasakan pasukan Kelantan boleh beraksi dengan lebih baik jika sekiranya ada satu suasana yang boleh meningkatkan lagi semangat para pemain.

“Pada saya, untuk pemain gembira dengan sesuatu keadaan itu adalah penting. Sebab kita ada material…kita ada pemain yang bagus dan kita mahu mereka bermain dengan semangat.

“Oleh kerana ramai yang berpendapat seorang jurulatih tempatan dalam suasana pada masa ini boleh menjadikan pasukan Kelantan berprestasi lebih tinggi, maka kita tidak ada masalah untuk bertukar tanggungjawab,” katanya kepada Sinar Online ketika ditemui di Dewan Rakyat, semalam.

Pelantikan Mohd Azraai berkuatkuasa semalam manakala Boateng dilantik sebagai jurulatih senior dan pengarah teknikal bagi TRW.

Menurut Annuar, pemilihan Mohd Azraai dibuat berdasarkan prestasi bekas jurulatih Perak FA itu sebelum ini.

“Saya tidak buang sesiapa. Semua masih dalam keluarga ini, tapi tanggungjawab yang kami beri kepada Azraai kerana kita mengkaji ‘track record’ nya. Sebelum ini, dia memenangi kejuaraan, pernah menjadi jurulatih kebangsaan, pernah memenangi beberapa piala dan kita tahu dia boleh bertutur bahasa Inggeris dan Melayu.

“Jadi, kita lihat pada semua prasyarat itu, dia penuhi kriteria untuk membawa satu ‘team spirit’ dan juga kejurulatihan yang lebih baik. Itu saja,” katanya.

Annuar turut menegaskan pertukaran itu bukan disebabkan Boateng kurang berprestasi sepanjang mengendalikan TRW selepas menggantikan Steve Darby, jurulatih sebelumnya yang dipecat.

“Oh tidak. Saya tekankan beberapa kali bahawa George Boateng seorang jurulatih yang baik. Malah kalau nak kira dari satu segi, kita tak boleh buat pertukaran berdasarkan prestasi sebab kita dah beri KPI kepada dia dan masanya belum sampai pun untuk menilai. Bagaimana kita nak menghukum dia?

“Kita masih antara lapan pasukan terbaik dalam Piala FA. Kita masuk suku akhir dan kalau kita menang satu perlawanan lagi, kita akan masuk separuh akhir. Masuk separuh akhir, maksudnya KPI telah tercapai. Liga? Masih terlalu awal. Kita hanya tertinggal beberapa mata sahaja di belakang daripada pendahulu.

“Jadi, dari segi prestasi kerja Boateng sebagai jurulatih, kita menghormati dan berpuas hati,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyentuh soal kepentingan aspek-aspek lain dalam bola sepak yang turut menjadi keutamaan selain aspek teknikal.

“Tapi oleh kerana dalam bola sepak ini, ada lagi aspek-aspek lain, bukan teknikal sahaja. Semangat dan moral pemain, kerjasama pasukan dan banyak lagi. Benda-benda yang bersifat emosional misalnya. Kita kena kendalikan secara keseluruhan.

“Sebab itu saya kata pertukaran ini bukan satu hukuman kerana Boateng sudah menjalankan tugasnya dengan baik. Sedikit sebanyak pasukan Kelantan telah menunjukkan peningkatan secara teknikal dan dia telah bawa satu bentuk kejurulatihan yang kita merasakan OK. Tapi kena ingat, aspek teknikal bukan segala-galanya,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");