Perak Hari Ini

Usaha Tingkat Pemahaman Pengguna Terhadap GST Diteruskan

IPOH: Penyebaran maklumat yang menggunakan pelbagai medium perantara diteruskan bagi memberi pendedahan kepada rakyat mengenai sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikuatkuasakan dalam tempoh lima hari lagi.

Menurut Penolong Kanan Pengarah Kastam I, Bahagian GST, Ibu Pejabat Kastam Putrajaya, Mohammad Sabri Saad, pelbagai medium laman sosial seperti Facebook dan Twitter digunakan bagi menyebarkan maklumat perihal GST.

“Pengguna sememangnya mempunyai ruang untuk mengetahui maklumat sahih mengenai GST termasuk juga daripada segi perniagaan,” katanya.

Jelasnya, setakat hari ini, terdapat lebih 80 panduan untuk industri melaksanakan GST, latihan serta seminar yang dipaparkan dalam laman rasmi yang disediakan pihak kastam.

“Paling terbaru ialah senarai barang untuk kedai barangan serbaneka sebanyak 1,800 barang yang disenaraikan,” katanya.

Jelasnya lagi, pengguna perlu melayari laman rasmi tersebut bagi mengetahui senarai barangan berkenaan yang dikenakan GST atau tidak.

Kastam negeri, tegasnya akan mencetak senarai barangan yang dikenakan GST atau tidak bagi pendedahan menyeluruh kepada para pengguna.

Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan,  beberapa pendekatan dilaksanakan di peringkat kerajaan Perak bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat mengenai cukai tersebut.

“Setakat ini, pencapaian memahami GST ini sudah hampir 60 peratus dan adalah sukar untuk  mencapai 100 peratus pemahaman,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sejurus selepas merasmikan Bengkel Seminar Pelaksanaan GST Implikasi Terhadap Anda dekat Casuarina@meru Ipoh hari ini.

Jelasnya lagi, seramai 472 kakitangan baharu dilantik sebagai pegawai pemantau dan penguatkuasa berkaitan GST.

Di Perak sendiri, terdapat 33 kakitangan khas untuk pemantauan harga dan penguatkuasaan, katanya.

“Kerajaan juga tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan kepada individu atau peniaga yang sesuka hati menaikkan harga sebelum GST dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya lagi, lebih 500,000 buku panduan harga juga telah diedarkan yang menyenaraikan lebih 500 jenis barangan antaranya makanan asas.

Tegasnya lagi, para pengguna perlu memainkan peranan dengan tampil membuat aduan selain dengan penguatakuasaan Akta Kawalan Barang dan Anti Pencatutan 2011 (Pindaan 2014).

“Bukan sahaja penguatkuasaan perlu dilipatgandakan tetapi juga pendidikan sangat penting untuk melahirkan pengguna yang bijak, sekaligus menjurus kepada perbelanjaan berhemah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");