Jenayah

10 GRO warga asing ditahan dalam Op Noda

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 wanita warga China yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam Op Noda di sebuah premis pusat hiburan di Jalan Changkat Tambi Dollah, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Operasi Jabatan Siasatan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman Superitendan Razali Abu Samah berkata kesemua wanita warga asing berkenaan yang ditahan dalam serbuan pada 2.30 pagi itu berumur antara 21 dan 28 tahun.

Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki warga asing berumur 23 tahun dipercayai pengurus premis berkenaan.

“Ketika pemeriksaan di premis jenis rumah dua tingkat itu, didapati premis itu menyediakan perkhidmatan GRO warga asing tanpa permit sah dan terdapat dua wanita sedang membuat persembahan di atas pentas serta melayan pelanggan.

“Hasil siasatan mendapati premis itu menyediakan perkhidmatan GRO yang disyaki untuk tujuan pelacuran,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata premis itu telah beroperasi hampir lima tahun dan tidak mempunyai permit yang sah untuk beroperasi.

“Ia merupakan hasil aduan daripada orang awam dan bertindak atas maklumat itu, polis membuat pemerhatian seminggu menerusi unit risikan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),” katanya.

Katanya, serbuan terhadap premis itu merupakan serbuan pertama kali untuk tahun ini yang dibuat oleh Cawangan Maksiat D7 JSJ Bukit Aman.

Selain itu, pihaknya turut merampas sejumlah peralatan audio visual milik premis berkenaan iaitu sebuah buku daftar pekerja dan dua keping resit jualan.

“Pemeriksaan ke atas kesemua pelanggan melalui sistem rekod polis tiada sebarang rekod kesalahan dan kesemuanya dibebaskan selepas selesai proses dokumentasi,” katanya.

Razali berkata kesemua wanita berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut manakala kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39B dan 11(7) Peraturan Imigresen. -Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");