Berita Hari Ini

100 Kanak-Kanak Nepal Di Bawah Kempen Inisiatif Malaysia Selamat

PETALING JAYA: Terdapat satu sinar cahaya untuk 100 kanak-kanak Nepal yang diletakkan di bawah kempen Rainbow of Life Forces (ROLF), bulan lepas.

Di Nayapati, Kathmandu, dapat dilihat kanak-kanak membaca buku, ditemani cahaya lampu dan lilin. Ini tetap menjadi rutin mereka walaupun selepas kejadian gempa bumi.

Di dalam tempat perlindungan mereka, anak-anak ini menyedari kebimbangan penjaga mereka yang terpaksa mendapatkan akses kepada makanan, air bersih dan keperluan lain.

“Mereka selamat tetapi kampung halaman mereka kacau-bilau. Gangguan bekalan elektrik dan kerosakan jalan raya telah menyebabkan bandar yang didiami hampir terputus daripada kemudahan, menjadikan lebih sukar untuk berkomunikasi dengan mereka,” kata Pengasas Rolf, Adelyn Lim.

Rolf merupakan inisiatif Malaysia yang bertujuan untuk memenuhi kehendak kanak-kanak. Di Nepal, Rolf bekerjasama dengan Drikung Kagyu Rinchen Ling Monastery di Nayapati untuk menunaikan hasrat kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Adelyn pada mulanya menerima laporan bahawa beberapa kanak-kanak hilang selepas gempa bumi.

Beliau bersyukur menerima panggilan pada lewat Ahad memaklumkan kepada beliau bahawa semua 100 kanak-kanak berada dalam keadaan baik.

“Saya sedang cuba untuk mendapatkan syarikat penerbangan bagi membantu kami mengangkut barang keperluan ke Kathmandu,” kata Adelyn.

Kedutaan Nepal di Malaysia akan mempunyai Tabung Bantuan Bencana Nepal untuk mengumpul dana bagi pembinaan semula negara ini. Duta Nepal ke Malaysia Dr Niranjan Man Singh Basnyat berkata penduduk di sana sedang tidur di tempat terbuka kerana mereka masih bimbangkan gempa susulan.

“Kedutaan akan berhubung dengan Nepal Airlines, Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air untuk menghantar kemudahan dan barang keperluan untuk rakyat kita,” katanya.

Dr Basnyat berkata terdapat 850,000 pekerja Nepal di Malaysia dan beliau berharap majikan akan memberikan mereka gaji sebulan lebih awal untuk membantu keluarga mereka pulang ke rumah.

Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah Datuk Sayed A. Rahman Sayed Mohd berkata mereka akan menghantar AS$10,000 (RM35,600) kepada Palang Merah Nepal, selain mencari sumbangan orang ramai.

Sumbangan boleh dihantar kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia melalui akaun Maybank 5144-2210-2657 atau melalui cek untuk dana bantuan gempa bumi Nepal.

Malaysia telah diminta untuk menangguhkan seketika daripada menderma barang-barang seperti makanan, pakaian atau selimut kerana kos pengangkutan adalah mahal.

Yayasan The Tzu Chi juga menghantar 15 anggota dan pasukan perubatan di sana.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");