Jenayah

7 pakar forensik PDRM berlepas ke Kiev sambung siasatan nahas MH17

PUTRAJAYA: Tujuh pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlepas ke Kiev, Ukraine untuk menyambung semula pencarian baki serpihan dan bukti baharu berkaitan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang dipercayai ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lepas.

Pasukan yang diketuai Komander Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI), Asisten Komisioner Hussein Omar Khan dilapor berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.30 tengah malam tadi.

Beliau berkata, pasukan itu antara paling berpengalaman dalam DVI dan penyiasatan tempat kejadian jenayah (CSI) dijangka memasuki semula ke lokasi nahas bersama pasukan penyiasat antarabangsa Selasa ini.

“Kita akan meneruskan usaha mengesan baki mayat jika masih ada dan juga mengumpul bukti fizikal bagi tujuan siasatan.

“Pasukan ini dijangka berada di Donetsk antara dua hingga tiga minggu,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Hussein berkata, pasukan itu adalah pasukan sama yang ke lokasi nahas sebelum ini.

Khamis lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan itu akan memasuki kawasan tragedi di Donetsk, Ukraine bersama-sama pasukan keselamatan Belanda dan Ukraine untuk mencari baki serpihan pesawat dan bukti baharu untuk membantu siasatan.

Beliau berkata PDRM komited dalam meneruskan siasatan dan berharap misi kali ini yang mendapat kerjasama Belanda dan lain-lain pasukan agar dapat membantu menemui petunjuk baharu nahas.

Pesawat MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur semasa ia terhempas di timur Ukraine dipercayai akibat ditembak di ruang udara negara yang bergolak itu. – BERNAMA

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");