Perak Hari Ini

ADUN Canning Diarah Buat Pemohonan Maaf Secara Bertulis :Devamany

IPOH: Wakil Rakyat pembangkang, Wong Kah Woh (DAP-Canning) telah diarahkan untuk membuat permohonan maaf secara bertulis kepada pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Keputusan tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan pada pagi tadi.

Speaker, Datuk Seri S.K Devamany berkata, pihak Dewan akan mengeluarkan surat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut untuk memaklumkan berkenaan keputusan tersebut.

“Kita secara sebulat suara bersetuju untuk hanya memberi teguran dan meminta Yang Berhormat Canning meminta maaf secara bertulis.

“Pihak kami akan mengeluarkan surat dan beliau diberi tempoh selama 21 hari untuk menjawab keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan kebebasan tersebut,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Keputusan tersebut telah dibuat susulan isu ADUN Canning diminta keluar dewan kerana melanggar peraturan 37 (a) dan 42 dalam peraturan-peraturan tetap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Ujarnya, kesemua ahli jawatankuasa berkenaan telah sepakat dalam mencapai persetujuan bagi tindakan tersebut.

“Sekiranya surat berkenaan tidak dijawab dalam tempoh 21 hari tersebut, Jawatankuasa Hak dan kebebasan akan dipanggil semula untuk berbincang mengenai tindakan selanjutnya,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, beliau telah meminta kepada kesemua wakil rakyat supaya tidak mengeluarkan kenyataan media berhubung isu tersebut.

“Saya memohon supaya ahli-ahli Yang Berhormat tidak kira daripada parti kerajaan mahupun pembangkang, janganlah mengeluarkan kenyataan akhbar yang boleh menimbulkan pemahaman yang agak kabur mengenai perkara ini.

“Kita telah berbincang mengenai perkara ini secara mendalam mengikut lunas-lunas perundangan dan peraturan-peraturan Perintah Tetap secara jitu kerana kita mahukan perkara ini diselesaikan,” tegas beliau lagi.

Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tersebut telah dihadiri oleh Pengerusinya, Datuk Seri S.K Devamany, serta barisan ahlinya iaitu Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib (BN-Slim), Datuk Dr Zaberi Abdul Wahid (BN-Trong), Rashidi Ibrahim (BN-Pasir Panjang), Mohamad Kamil Shafie (BN-Manong), Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin (Pengerusi Pakatan Rakyat Perak) dan Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");