Sukan Hari Ini

Afiq wira Gergasi Merah

SELANGOR meneruskan momentum terbaik apabila merakamkan kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan Liga Super sejurus menewaskan Lions XII 4-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad Gergasi Merah kekal sebagai pendahulu liga dan berkongsi 17 mata dengan pencabar terdekat, Felda United yang menduduki tangga kedua selepas menewaskan Terengganu 3-1.

Pada perlawanan malam tadi, Mohd. Afiq Azmi yang muncul sebagai pemain tempatan pertama meledak hatrik musim ini tidak mengambil masa lama untuk membolos gawang wakil Singapura apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh.

Selang empat minit kemudian, Afiq sekali lagi menghukum kerapuhan benteng pertahanan Lions XII dengan meledak gol kedua menerusi rembatan kencang selepas merampas bola daripada pemain lawan, Zulfahmi Arifin.

Penyerang tinggi lampai itu sekali gus melengkapkan hatrik apabila memanfaatkan hantaran daripada Guilherme De Paula untuk menolak bola ke gawang Lions XII pada minit ke-15 dengan mudah.

Bersambung di babak kedua, Lions XII cuba mengasak benteng pertahanan tuan rumah, tetapi tiada sebarang percubaan tepat berjaya dihasilkan.

Ketika pasukan bimbingan Fandi Ahmad cuba mencari jaringan defisit perlawanan, De Paula pantas menghukum keghairahan Lions XII apabila meledak gol kemenangan, sekali gus mencatat keputusan 4-0 sehingga tamat perlawanan.

Selepas menentang Lions XII, skuad Gergasi Merah bakal berkunjung ke Kota Bharu untuk bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV pada 24 April depan.

-kosmo.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");