Membawang Hari Ini

Air mata Fahrin

Kali pertama Fahrin Ahmad beraksi di layar perak menerusi Puaka Tebing Biru arahan Osman Ali pada 2007. Kini selepas lapan tahun, pelakon yang pernah digelar jejaka idaman Malaya itu kembali dengan filem kedua, Pilot Cafe juga arahan Osman.

Kali ini genre drama romantik dan digandingkan dengan pelakon jelita, Izara Aishah dan Neelofa. Rata-rata teman media yang hadir di majlis pra-tonton filem itu baru-baru ini memuji lakonan berkesannya terutama pada beberapa babak air mata hingga ada melabel Fahrin pelakon air mata.

Pujian diberikan itu membuatkan pelakon kacak asal Johor ini terkejut dan masa sama bersyukur.

Katanya, pujian itu seharusnya diberikan kepada pengarah yang tahu membuatkan dirinya sebagaimana diinginkan.

“Pada saya, ia lebih kepada menjiwai perjalanan hidup yang menyentuh hati seorang lelaki. Untuk menangis, seorang pelakon perlu melalui banyak pengalaman yang boleh dijadikan asas untuk mengeluarkan air mata.

“Tipulah kalau saya tak kaitkan dengan pengalaman hidup sendiri untuk menjiwai watak ini,” kata Fahrin malu.

Dalam percintaan, Fahrin belum menemui cinta sejatinya walaupun pernah dikaitkan dengan beberapa wanita jelita dalam hidupnya termasuk beberapa selebriti tempatan.

Kisah cintanya putus di tengah jalan menyebabkan hingga kini terus membujang pada usia menjangkau 36 tahun. Fahrin pernah menyatakan dia sudah putus asa untuk bercinta lagi.

Pernah dikaitkan dengan Linda Onn, Scha Alyahya dan anak produser terkenal, Zaiton Mohd Jiwa, Fahrin mengatakan fokusnya kini pada kerjaya seni sahaja.

“Dulu saya sasar untuk berkahwin pada usia 28 tahun tapi kini sudah lewat 30-an. Kalau susah-susah sangat, saya minta keluarga saja carikan calon untuk saya,” katanya.

Ternyata Fahrin juga tidak tidak terlepas gosip apabila dikatakan mesra de­ngan Izreen Azminda. Dalam ketawa, Fahrin anggap ia satu gosip klise yang muncul hanya kerana sekeping foto dikongsi di laman sosial Izreen.

Katanya, persepsi orang berbeza apabila babitkan sekeping foto dengan visual bergerak.

“Sekeping foto mesra boleh menyebabkan yang melihatnya menganggap ia satu hal besar walhal apabila menonton satu visual seperti dalam drama dilakonkan bersama, orang tidak ambil kisah pun sebab ia hanya lakonan semata-mata.

“Kami tidak ada apa-apa hubungan melainkan rakan artis dalam drama yang kami lakonkan, Eksperimen Cinta yang masih dalam proses penggambaran,” katanya.

Enggan berbicara lanjut soal peribadi, Fahrin akui selama 13 tahun bergelumang dalam dunia seni, banyak hal mematangkannya.

Antaranya apabila ada usikan nakal mengatakan Pilot Cafe bakal mengang­kat namanya kembali dalam kalangan peminat filem Melayu tempatan, sekali gus mengetepikan nama pemain filem besar lain.

Katanya, kitaran turun naik nama pelakon perkara biasa cuma keinginan untuk berada dalam industri masih kuat seperti dulu.

“Peminat sebenarnya yang meletak diri kita dalam industri. Andai Pilot Cafe orang melihat ia buah tangan terbaik, saya bersyukur.

“Kalau ada kehadiran orang baru atau nama lain, tidak perlu ada rasa iri hati atau tergugat. Orang kata filem ini bagus tapi kalau saya tidak beri terbaik, bermakna saya gagal mencipta tuah sebab tidak tahu bila lagi rezeki seperti ini akan datang.

“Bagi saya, maklum balas positif diberi bermakna ia satu pengiktirafan buat saya dalam industri,” katanya.

Pilot Cafe yang bakal ditayangkan di pawagam pada 30 April ini, turut dijayakan Remy Ishak, Keith Foo, Dian P.Ramlee, Datuk Eizlan Yusof dan Hafizudin Fadzil.

Filem diangkat daripada novel popular karya Ahadiat Akashah pada 1995, mengisahkan perjalanan hidup Kapten Ameer, bekas juruterbang yang cuba meraih kembali cinta Sharmila namun pada masa sama bertemu Maya dan jatuh cinta.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");