Membawang Hari Ini

Bencinta: Gandingan pertama Fathia-Fattah

SETELAH berakhirnya drama Tabir Zulaikha, kini giliran drama terbaharu, Bencinta terbitan Zeel Production menemui penonton TV3, setiap Selasa hingga Khamis, jam 10 malam.

Sudah pun bermula sejak 31 Mac lalu, drama bersiri 15 episod arahan Shuhaimi Lua dan nukilan skrip oleh Mufid Suhaimi, memperlihatkan gandingan pertama kali Fatiya Latiff bersama Fattah Amin.

Selain Fatiya dan Fattah, drama ini juga turut menampilkan pelakon terkenal lain seperti Bella Dally, Nazeera Sardi, Datuk Eizlan Yusoff, Amy Mastura, Sabrina Ali dan juga pelakon baharu, Erwin Dawson.

Bencinta mengisahkan Nabil (Fattah) yang menjadi anak angkat kepada Majid (Eizlan) dan Maria (Amy), pasangan yang tidak dikurniakan cahaya mata. Tidak lama kemudian, Maria telah mengandung.

Malangnya, Maria meninggal dunia selepas melahirkan seorang bayi perempuan yang dinamakan Nabila (Fathia). Maria meninggalkan amanat kepada Nabil supaya mengahwini Nabila apabila mereka berdua dewasa nanti.

Nabil menjaga Nabila dengan penuh kasih sayang. Namun, sikap Nabil yang terlalu mengongkong telah menyebabkan Nabila mula memberontak dan membenci Nabil. Kebenciannya semakin bertambah apabila melihat Nabil berkuasa di syarikat bapanya. Tidak mahu syarikat keluarganya jatuh ke tangan Nabil, dia akhirnya sanggup mengahwini jejaka itu.

Apakah yang akan berlaku seterusnya? Saksikan drama bersiri terbaharu ini menerusi slot Samarinda.

Menurut pengarahnya, Shuhaimi, tarikan utama drama ini adalah gandingan pertama kali Fathia bersama Fattah di layar.

“Alhamdulillah walaupun mereka pertama kali beraksi, tapi kedua-dua pelakon utama cepat serasi dan memberikan komitmen kepada saya dan krew.

“Begitu juga dengan pelakon-pelakon lain yang memberikan komitmen yang cukup baik sepanjang penggambaran drama ini,” katanya kepada Zass.

Tambah Shuhaimi, setakat ini dia belum menerima apa-apa komen negatif daripada penonton dan berharap sambutan terhadap drama Bencinta memberangsangkan sehingga ke penghujung.

“Walaupun belum trending di laman sosial, tapi rata-rata maklum balas yang saya dapat, mereka menyukai drama ini. Apa yang saya harapkan mereka terhibur dengan jalan cerita dari mula hingga ke akhir nanti.

“Namun apa jua maklum balas yang diberi, sama ada positif akan negatif, saya akan terima dengan hati terbuka dan jika ada kekurangan, saya akan perbaikinya untuk pembikinan drama yang akan datang,” ujarnya yang bakal mengarahkan sebuah drama untuk slot Akasia TV3, tidak lama lagi.

Konflik tarikan utama

Bercerita lanjut mengenai pembikinan drama Bencinta, Shuhaimi berkata, drama ini tidak mendatangkan masalah besar buatnya dan tempoh penggambaran juga dapat dihabiskan lebih awal daripada jadual.

“Sebelum ini saya sering diberikan naskhah yang agak berat, tapi untuk Bencinta, saya boleh kategorikan ia antara drama ringan yang saya arahkan.

“Namun ini bukanlah bermakna drama ini tidak menarik, sebaliknya konflik antara Nabil dan Nabila menjadi daya penarik utama dan jalan cerita drama ini juga berlainan walaupun ia berlatarkan kisah percintaan,” katanya.

Menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan Kuwait, Shuhaimi berkata, drama Bencinta menjalani penggambaran selama empat bulan sejak Oktober lalu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");