Isu Panas

BN bakal hilang satu kerusi Parlimen?

KUALA LUMPUR, 23 April:

Barisan Nasional (BN) bakal kehilangan satu kerusi di Dewan Rakyat, apabila Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris digantung keahliannya sebagai ahli UMNO selama enam tahun.

Difahamkan, penggantungan itu berkuat kuasa 1 April lalu, selepas Lembaga Disiplin UMNO selesai mengadakan proses pendengaran kes berkenaan.

Dengan penggantungan ini, Jumat hilang kelayakan sebagai wakil rakyat BN dan kini menjadi Ahli Parlimen bebas, seperti Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jumat ketika dihubungi The Rakyat Post mengesahkan perkara itu.

Menurut Jumat, beliau digantung keahlian UMNO, bukan disebabkan kelantangan beliau mengkritik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, tetapi kerana mempersoalkan projek mesra rakyat di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Perdana Menteri telah memberi peruntukan untuk beberapa projek mesra rakyat di Sabah, tetapi pelaksanaan terlalu lambat dan ada yang tidak dilaksanakan lagi.

“Apabila saya membangkit perkara ini, saya dituduh menimbulkan suasana tidak baik kepada kerajaan dan kakitangan awam Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut penggantungan itu, Jumat memaklumkan, beliau telah membuat rayuan kepada Lembaga Disiplin UMNO, sebelum sidang Dewan Rakyat berakhir 9 April lalu.

“Saya sudah buat rayuan, terpulang kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk mempertimbangkannya,” ujarnya.

Jika rayuan Jumat ditolak, BN akan kehilangan satu kerusi Parlimen, menjadikan keseluruhan kerusi yang dimiliki parti itu setakat 132 kerusi.

Turut menerima nasib sama, Ketua Pemuda UMNO Perlis, Syed Atief Syed Abu Bakar yang digantung keahlian selama tiga tahun, kerana mengkritik kepimpinan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang tidak mahu mengiktiraf pergerakan parti itu.

Syed Atief sudah beberapa kali memohon untuk berjumpa dengan Azlan, bagi membincangkan hala tuju dan program bersama negeri, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Azlan.

“Tindakan Syed Atief mengkritik menerusi Facebook itu boleh mencemarkan parti. Itu antara sebab tindakan dikenakan terhadapnya,” demikian kata seorang sumber kepada The Rakyat Post.

Syed Atief juga dilaporkan sudah membuat rayuan dan sedang menunggu keputusan Lembaga Disiplin UMNO.

-therakyatpost.com

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");