Isu Panas

BN mampu bawa perubahan

PERMATANG PAUH 17 April – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh boleh mengubah aspek pembangunan dan pengisian di kawasan itu yang sememangnya diharapkan penduduk.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua jentera BN kini sudah bersiap sedia menghadapi PRK itu malah penyatuan dan perpaduan yang ditunjukkan selama ini akan menghasilkan satu kejutan kepada pengundi.

Tambah beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, kemampuan BN me­rampas kerusi PRK itu daripada legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim juga kelak, boleh membawa perubahan kepada landskap politik di negeri ini khususnya dan negara khasnya.

“Kita akan bawa bukan sahaja pembangunan material tetapi pengisian kepada penduduk yang selama ini hanya dihidangkan de­ngan permainan politik untuk menyelesaikan masalah keluarga,” katanya yang juga Penolong Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK Parlimen Permatang Pauh.

Ahmad Zahid ditemui pembe­rita selepas mengadakan pertemuan de­ngan kepemimpinan semua pe­ringkat UMNO Bahagian Permatang Pauh di Wisma Transformasi, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Ditanya mengenai calon BN, Ahmad Zahid menegaskan, calon itu nanti adalah yang mendapat ‘baiah’ daripada semua peringkat bahagian serta membawa nama BN, bukannya atas tiket peribadi.

Beliau turut melahirkan keyakinan sekiranya jentera yang dibentuk dapat bertugas dengan baik, siapa sahaja yang dipilih menjadi calon akan mendapat sokongan daripada ahli BN.

“Kita yakin akan melakukan kejutan kerana dalam pilihan raya umum lalu, PKR hanya menang dengan majoriti lebih 11,000 undi, jadi kali ini kita buktikan yang kemenangan itu tidak mustahil,” ujarnya.

Selain itu Ahmad Zahid berkata, jentera BN yang bakal dilancarkan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 23 April ini juga akan bekerja keras menangkis serangan ‘peluru berpandu politik’ oleh pembangkang.

BN juga jelasnya, tidak akan terpedaya dengan ‘jerangkap samar’ yang dipasang PKR, DAP dan Pas membabitkan masalah dalaman mereka yang harus diselesaikan sendiri tanpa mengheret UMNO dan BN.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan Ketua Pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadi­nya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK itu diadakan pada 7 Mei ini, penamaan calon pada 25 April manakala pengundian awal pada 3 Mei.

-Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");