Membawang Hari Ini

Darah Panas: Arjin hancurkan kereta mewah

Biarpun filem Kerat 14 mendapat reaksi pelbagai daripada pengkritik dan peminat filem tempatan, ia tidak mematahkan semangat pengarahnya, Arjin Uppal untuk tampil dengan naskhah baru, Darah Panas.

Bukan cerita bohsia, buang anak, aksi bergaduh gengster atau merempit tetapi isu yang ingin dikupas pengarah muda berusia 27 tahun itu lebih mendalam mengenai konflik hidup di kota raya.

Darah Panas sarat dengan pergolakan hidup anak kota, isu yang dipaparkan berlaku tanpa disedari. Itulah yang ingin diketengahkan dalam filem kelima terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd.

Lebih berani, Arjin sanggup menghancurkan kereta mewah BMW 3 Series dan motosikal berkuasa tinggi untuk kepuasan babak aksi dalam filem yang menampilkan Sharnaaz Ahmad, Soffi Jikan dan Adam Corie.

Selain Sharnaaz sebagai Adi, Soffi Jikan (Aloi) dan Adam (Cicak), filem bergenre aksi romantik yang menelan belanja hampir RM2 juta itu turut menampilkan aktres jelita, Nur Fathia Abdul Latiff, Datuk Jalaluddin Hassan, Aznah Hamid dan Ruminah Sidek.

Arjin berkata, mungkin ada yang berpendapat isu diketengahkan sudah biasa dipaparkan dalam filem atau drama tempatan tapi ia berbeza dengan filem Darah Panas.

“Masih banyak yang tidak kita ketahui mengenai pergolakan dan budaya hidup anak kota. Saya memaparkan apa yang terpendam, kejadian yang berlaku tanpa kita sedari.

“Isu seks bebas, pelacuran dan dadah cukup membimbangkan dan ia adalah gejala sosial yang tiada penghujungnya.

“Setiap masa dan ketika ada saja yang menjadi mangsanya, itulah yang kita tidak sedari selama ini. Besar harapan saya supaya filem Darah Panas boleh dijadikan pengajaran buat golongan remaja,” katanya.

Arjin berkata, ini filem kedua arahannya selepas Kerat 14. Sebelum ini Arjin pernah membantu bapanya, S Baldev yang juga penerbit dan pengarah filem Akhirat, Kecoh Betul dan Rasuk sebagai penolong pengarah.

“Saya mengumpul banyak idea selepas menonton ratusan filem ketika mempunyai masa lapang. Ketika itu, saya masih menuntut dalam bidang kejuruteraan di Sydney. Idea inilah dikeluarkan satu persatu untuk menghasilkan filem di bawah terbitan syarikat perfileman bapa saya.

“Idea menghasilkan Darah Panas bukan datangnya daripada saya seorang. Saya dibantu bapa dan abang, Harvinder Uppal untuk menghasilkan filem ini.

“Saya akan pastikan setiap genre diterbitkan berbeza kerana saya mahukan kelainan dan sesuatu yang baru untuk berkarya,” katanya.

Harvinder yang juga produsernya berkata, filem Darah Panas yang menjalani penggambaran sekitar Oktober 2012, bukan hanya ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei serentak pada 4 Jun ini, malah berusaha untuk ditayangkan di Indonesia.

“Kami memilih kompleks studio filem terbesar di dunia, Ramoji Film City di Hyderabad, India untuk kerja suntingan teknik CGI dan kesan bunyi untuk filem kelima ini.

“Syarikat produksi sanggup mengeluarkan belanja tinggi untuk memastikan babak dalam filem Darah Panas lebih ganas dan mencemaskan,” katanya.

Sebagai produser, dia percaya genre aksi romantik menjadi pilihan penonton hari ini.

Harvinder juga yakin dengan hasil kerja Arjin memandangkan dia generasi muda dan tahu konflik dan pergolakan hidup masyarakat kota.

“Kami tidak mengongkong Arjin dalam berkarya, apa saja yang dilakukan adalah idea bersama. Saya melihat Arjin seorang yang kreatif. Inilah generasi baru, mereka lebih kreatif dan tahu apa yang mahu dilakukan.

“Pemilihan artis dilakukan mengikut skrip. Saya melihat Sharnaaz, Soffi dan Adam Corrie memang sesuai membintangi filem ini. Bukan kerana siapa mereka sebelum ini, tapi filem ini memerlukan pelakon yang lasak dan melakukan babak ngeri.

“Saya puji lakonan Sharnaaz. Dia sangat berbakat besar, begitu juga Soffi, dia bukan hanya pelakon tapi banyak membantu memberi idea dan pandangan.

“Nur Fathia pula tidak seperti yang pernah saya dengar. Dulu ada yang menganggapnya kurang penghayatan, tapi dalam filem Darah Panas, Nur Fathia hebat dan tahan lasak. Dia tidak seperti yang difikirkan, lakonannya juga memuaskan hati,” pujinya.

Filem Darah Panas mengisahkan Syahana, gadis yang berpegang pada agama dan bercita-cita menjadi model Muslimah kerana terpengaruh dengan video di laman sosial.

Syahana berkenalan dengan Fandi melalui laman sosial dan meminta bantuan Fandi mencapai cita-citanya. Syahana menyatakan hasrat kepada keluarganya, namun ditentang ayah dan abangnya.

Demi mengejar cita-cita, dia mengambil keputusan melarikan diri ke Kuala Lumpur. Setibanya di ibu kota, Fandi membawa Syahana ke dunia pelacuran.

Dalam pada itu, Cicak, ketua rumah pelacuran turut terbabit dalam sindiket dadah. Cicak membeli Syahana daripada Fandi. Syahana kemudian bertemu Adi yang menyelamatkannya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");