Sukan Hari Ini

EPL: Man City berhempas pulas atasi Aston Villa

MANCHESTER: Jaringan Fernandinho pada minit ke-89 menyelamatkan maruah Manchester City selepas mensia-siakan kelebihan dua gol ketika menundukkan Aston Villa 3-2 dan terjamin tempat dalam empat kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris.

Terdahulu pada saingan tengah malam tadi, Sergio Aguero menghukum kesilapan awal oleh penjaga gol, Brad Guzan untuk meletakkan City di depan seawal minit ketiga dan Aleksandar Kolarov menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-66 apabila sepakan percumanya menerjah jaring.

Villa tampak berupaya untuk pulang dengan satu mata selepas gol menerusi Tom Cleverley dan Carlos Sanchez selepas penjaga gawang, Joe Hart tersilap langkah bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-85.

Bagaimanapun, tuan rumah meneruskan asakan apabila akhirnya Fernandinho meluru di dalam kotak penalti dan kemudian mendada bola sebelum merembat masuk dari jarak lapan meter.

“Adalah penting untuk meneruskan semangat seperti ini. Bukan mudah apabila berada di depan dengan 2-0 dan kemudiannya 2-2.

“Dengan semangat ini, mungkin kami tidak akan kalah dalam perlawanan lain,” kata Pengurus City, Manuel Pellegrini.

City kini meniti di tangga kedua buat seketika mengatasi Arsenal dan Manchester United, dengan kedua-dua kelab itu akan turun beraksi hari ini dan lebih penting memiliki kelebihan sembilan mata meninggalkan Liverpool dan Tottenham dalam perebutan tiket bagi Liga Juara-Juara Eropah.

Apapun, persembahan City dianggap kurang memberangsangkan sepanjang musim ini dan mungkin menamatkan musim tanpa sebarang gelaran sekali gus menjadikan masa depan Pellegrini tidak menentu.

“Ini adalah antara permainan terburuk kami,” kata Pellegrini. -AP/berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");