Sukan Hari Ini

Fokus liga!

Madrid: Barcelona tidak mempunyai masa untuk meraikan kemenangan menakjubkan ke atas Paris Saint-Germain pada pertengahan minggu ini ketika impian kelab Catalunya itu memburu tiga trofi diteruskan apabila Valencia bertandang ke Nou Camp, malam ini.

Anak buah Luis Enrique hampir memastikan tempat ke separuh akhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan 3-1 ke atas juara Perancis itu menerusi dua gol hebat Luis Suarez.

Bagaimanapun, seri 2-2 di laman lawan dengan Sevilla hujung minggu lalu bermakna jika Barca melakukan satu lagi kesilapan antara kini dan hujung kempen liga, kejuaraan pasti berada dalam genggaman Real Madrid.

“Kami belajar daripada kesilapan menentang Sevilla. Di Paris, kami bermain lebih lengkap dan ia terbukti dengan jaringan itu,” kata pertahanan Gerard Pique (gambar), yang melakukan penampilan ke-300 buat kelabnya di Parc des Princes, awal pagi kelmarin.

“Kami amat yakin. Suasana gembira di bilik persalinan, tapi kami berpijak di bumi nyata. Kami sedar bahagian paling sukar musim ini belum hadir lagi selepas menjadi pendahulu La Liga, layak ke final Piala Raja Sepanyol dan keputusan menyebelahi kami untuk layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

“Dari sekarang setiap perlawanan bagaikan final dan kami tiada masa untuk berehat. Pertamanya kami berdepan Valencia, kemudian PSG di Nou Camp. Jadual amat ketat tapi jika kami mahu menang sebanyak mungkin kejuaraan, kami perlu bersedia dan menerimanya.”

Kelibat pemain tengah Barca, Andres Iniesta diragui selepas luka teruk di bahagian belakang menentang PSG, namun Dani Alves akan kembali mengambil tempat di pertahanan kanan selepas menjalani penggantungan perlawanan.

Valencia perlu meraih mata dalam usaha bersaing dengan Atletico Madrid dan Sevilla bagi dua tempat terakhir ke Liga Juara-Juara musim depan. Los Che mengejutkan Nou Camp Februari lalu dengan kemenangan 3-2 dan penyerang Alvaro Negredo berasa tiada alasan mereka tidak boleh mengulangi pencapaian itu minggu ini.

“Kami sedar amat sukar untuk menang di Nou Camp tapi rakan sepasukan saya berjaya melakukannya musim lalu,” jelas pemain kebangsaan Sepanyol itu. – www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");