Berita Hari Ini

Gesa Felda beri penjelasan isu peneroka

ROMPIN – Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa Felda menjawab beberapa isu berkaitan peneroka yang masih belum selesai sehingga kini.

Isu yang dibangkitkan antaranya kejatuhan saham Felda Global Ventures Holding (FGVH), Perjanjian Tanam Semula dan pengurusan kebun yang didakwa tidak berpihak kepada peneroka.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, Anak menzahirkan kebimbangan atas kejatuhan saham FGV yang kini didakwa hanya di paras RM2.20 seunit dan mahu pertemuan dua hala diadakan supaya peneroka mendapat penjelasan yang seimbang.

Menurutnya, pertemuan dua hala tersebut penting agar dapat memberikan pencerahan kepada peneroka mengenai situasi penurunan saham FGV itu dan sebagai pihak yang bertanggungjawab Felda perlu bersetuju untuk tampil memberi penjelasan bersama.

“Atas dasar kebimbangan itu, kita adakan Himpunan Perdana Selamatkan Felda 2.0 bermula hari ini hingga esok (Ahad) di Felda Keratong 4 yang bertujuan membincangkan isu-isu berkaitan Felda selain memberi pendedahan kepada peneroka.

“Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad ada menyatakan mahu turun beri penjelasan kepada peneroka berhubung isu berkaitan Felda dan perhimpunan ini merupakan saluran terbaik kerana melibatkan kedua-dua pihak dalam satu masa,” katanya pada sidang media di Markas Induk Pas PRK Rompin, Bandar Satelit Muadzam Shah, di sini, semalam.

Katanya, resolusi perbincangan himpunan itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan PRK Parlimen Rompin 5 Mei depan itu boleh digunakan peneroka sebagai saluran untuk membuat tuntutan kepada banyak isu berkaitan yang berbangkit sekian lama antaranya Perjanjian Tanam Semula yang tidak ikut jadual dan didakwa menyebabkan hutang yang ditanggung peneroka meningkat.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menegaskan supaya Perjanjian Tanam Semula perlu disemak semula dan mendesak jika Felda gagal menjalankan tugas maka peneroka terlibat berhak membatalkan perjanjian.

“Nasib yang menimpa peneroka ini bukan berlaku di sini sahaja tetapi berlaku hampir di semua tanah Felda.

“Di luar memang nampak cantik tetapi di bahagian sebelah dalam atau pedalaman mungkin tidak sebaik itu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");