Sukan Hari Ini

Hapuskan tiga kelemahan!

PERSEMBAHAN The Speedy Tigers dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-24 di Ipoh, Perak, baru-baru ini, menunjukkan tiga kelemahan yang amat merunsingkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Kelemahan itu menurut Pengurus Skuad Hoki Negara, Datuk Nur Azmi Ahmad, boleh menyebabkan impian Malaysia untuk melangkah ke Sukan Olimpik Rio di Brazil, tahun hadapan, terkubur.

Jelas Nur Azmi, kelemahan itu perlu diatasi dalam tempoh sebulan sebelum menjelang aksi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Antwerp, Belgium, Jun depan.

Nur Azmi yang juga Naib Presiden Kanan MHC, menjelaskan tiga kelemahan yang ditunjukkan oleh anak didik Tai Beng Hai adalah kecergasan pemain, benteng pertahanan dan corak permainan yang lebih kepada individu dan bukannya berkumpulan.

Bagi faktor kecergasan pemain, Nur Azmi melihat, dua hingga tiga pemain tidak berada pada tahap kecergasan yang sebenar.

“Apa yang mereka lakukan tidak menjadi. Faktor kecergasan memainkan peranan yang amat penting dan perlu dititikberatkan.

“Situasi ini perlu diperbaiki dengan lebih cepat kerana kecergasan adalah faktor yang amat penting,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas kelemahan di benteng pertahanan, Nur Azmi jelas kecewa kerana dalam saingan di Ipoh itu, pemain negara dengan mudah memberikan lawan menjaringkan gol.

“Kita tidak boleh bandingkan dengan aksi Pusingan Kedua WHL di Singapura kerana Piala Sultan Azlan Shah disertai pasukan yang hebat.

“Cuma saya kecewa, benteng pertahanan kita tidak selari dengan barisan serangan. Kita boleh cari gol, tetapi mudah melepaskan gol,” katanya.

Paling mengecewakan menurut Nur Azmi adalah pasukan negara tewas ke atas Kanada pada penentuan tempat kelima dan keenam.

“Kita tewaskan India dan Kanada pada saingan peringkat kumpulan tetapi kita gagal meneruskan kecemerlangan pada perlawanan terakhir.

“Kita hanya menduduki tempat keenam selepas tumpas ke atas Kanada,” katanya.

Sementara itu, berbicara mengenai rentak permainan yang lebih ke arah individu berbanding kumpulan, Nur Azmi menjelaskan, situasi itu paling merisaukan.

Jelasnya, setiap kejayaan tidak hadir melalui individu tetapi dengan kerja berpasukan.

“Kadang-kala pemain yang tidak bersama bola juga penting dalam setiap perlawanan.

“Pemain tidak perlu bergerak sendiri, kita bekerja satu pasukan. Kejayaan akan hadir jika kita bermain dalam satu pasukan,” katanya.

Yakin Speedy Tigers akan berubah

Kurang dua bulan, Speedy Tigers akan berjuang dalam misi merebut tempat ke Sukan Olimpik Rio di Brazil 2016.

Ketika ini, Beng Hai giat memperbaiki kelemahan pasukan negara.

Esok malam, pasukan hoki negara akan berlepas ke Belanda dalam persiapan terakhir berdepan aksi Separuh Akhir WHL.

Menurut Nur Azmi, Speedy Tigers akan berdepan tujuh perlawanan iaitu menentang tiga pasukan kelab dan masing-masing dua perlawanan menentang Belanda dan Belgium.

“Saya harap Speedy Tigers akan belajar sesuatu dalam aksi itu nanti. Saingan WHL selepas ini akan lebih hebat kerana banyak pasukan yang berada di ranking teratas kita turut bersaing,” katanya.

Nur Azmi berkata, seramai 20 pemain akan mengikuti jelajah Eropah itu.

“Jumlah itu akan dikurangkan sebelum kita berlepas ke Antwerp, Jun nanti,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");