Perak Hari Ini

Himpunan Suara Anak Perak 604 Menentang Tindakan Biadap Terhadap Institusi Raja

IPOH: Himpunan Suara Anak Perak 604 bersedia untuk menentang sekeras-kerasnya segala tindakan biadap daripada mana-mana pihak terhadap institusi Raja di negeri Perak.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, antara langkah yang diambil adalah dengan mengadakan perhimpunan beramai-ramai bagi menjunjung kasih serta taat setia kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Katanya, tindakan tersebut diambil susulan daripada ketidakpuasan hati rakyat di negeri itu terhadap perbuatan biadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang tidak menghormati Sultan Perak pada perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.

“Kita telah mengadakan dua siri perhimpunan aman pada 2 April dan 6 April lalu, yang mengumpulkan seramai 300 hingga lebih 1,500 orang bagi membantah tindakan tersebut.

“Ia tidak akan terhenti hanya setakat itu sahaja kerana ia akan terus diadakan dengan perancangan beberapa program tanda sokongan terhadap Sultan Perak,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

PERAK TODAY 2

Beliau berkata, antaranya program yang telah dirancang adalah mengadakan sesi ceramah untuk menerangkan kepada rakyat serta masyarakat setempat mengenai kedudukan Raja dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

“Fasa pertama bagi sesi penerangan ini akan diadakan di tiga buah daerah iaitu Kuala Kangsar, Hilir Perak dan juga Kerian dalam masa terdekat.

“Selain itu, kita juga telah mengadakan Seminar Kedaulatan Raja selama dua hari untuk pengamal media sosial yang sedang berlangsung di Lumut pada masa ini,” ujar beliau lagi.

PERAK TODAY 3

Tambahnya, pihaknya juga akan menganjurkan seminar berkenaan yang turut melibatkan penuntut-penuntut daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta penjawat awam di Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) di Kuala Kangsar.

“Dijangkakan seramai 1,500 peserta akan menghadiri seminar berkenaan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, Himpunan Suara Anak Perak 604 yang terdiri daripada 20 badan bukan kerajaan (NGO) turut mempelawa semua pihak untuk menyertai mereka.

“Tidak kisah daripada individu atau parti mana sekalipun, kita menggalakkan mereka untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan Sultan Perak.

“Kita sangat mengalu-alukan jika mereka hendak menyertai perhimpunan ini kerana kita tidak tertumpu kepada hanya satu parti sahaja,” kata beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");