Jenayah

‘Ibu ayah dah tiada’

Rompin: “Saya tidak tahu macam mana hendak beritahu cucu yang berusia dua tahun bahawa ibu bapanya sudah tiada.

“Bertambah kusut memikirkan kerana dia juga kehilangan kakak dan abang,” kata Ramlan Mihat, 54, ibu Sallyza Hakim Lukmanhakim, 32, yang maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan lori di di Kilometer 138 Jalan Kuantan-Segamat dekat Cenderawasih, berhampiran Muadzam Shah, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu turut mengorbankan suami Sallyza, Rohaizan Paimon, 38, serta dua anak mereka, Nur Allysha Adrieanna, 6, dan Muhammad Nur Irfan Danish Hakim, 4.

Lebih memilukan, Sallyza yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, sedang mengandung tujuh bulan dan dijadual bersalin anak keempatnya Jun nanti.

Ramlan berkata, ketika kejadian, pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuantan selepas menghantar seorang anaknya, Nurirshaneelydia Hakim, 2, di rumahnya di Kampung Parit Beting, Muar, Johor.

“Suami Sallyza akan bekerja luar kawasan selama dua minggu sebagai juruteknik minyak dan gas di Kemaman, Terengganu.

“Mereka hantar Nurirshaneelydia Hakim kepada saya untuk dijaga berikutan Sallyza sarat mengandung,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Muadzam, dekat sini, semalam.

Menurut Ramlan, dia menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9 pagi daripada polis yang memberitahu Sallyza, suami dan dua anak pasangan itu maut selepas terbabit dalam kemalangan.

“Dugaan ini amat berat dirasakan apabila saya kehilangan anak perempuan tunggal dan menantu selain dua cucu serentak,” katanya.

Menurutnya, dia bersama suami Lukmanhakim Abdul Hamid, 62, akan menjaga anak ketiga pasangan itu yang kini menjadi cucu tunggal mereka.

“Nurirshaneelydia Hakim akan menjadi pengubat rindu kami kepada Sallyza dan keluarganya,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kejadian berlaku apabila semua mangsa yang menaiki kereta Proton Waja dalam perjalanan dari kampung Sallyza menuju Kuantan.

“Setiba di lokasi kejadian, Rohaizan yang memandu, dipercayai gagal mengawal kereta menyebabkan ia memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dipandu, Abdul Halim Hasan, 55, berasal dari Keratong 1, Muadzam Shah, dekat sini.

“Akibat kejadian itu, semua mangsa tersepit di tempat duduk. Orang ramai menghulurkan bantuan serta menghubungi ambulans,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, empat beranak terbabit disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah, dekat sini, untuk bedah siasat.

Jenazah empat beranak itu selamat dikebumikan di Kampung Parit Beting, Muar, Johor.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");