Jenayah

Jadi sarang pelacur

SUNGAI PETANI – Bertindak atas aduan, tempat simpan motosikal yang dikatakan menjadi sarang menghidu gam dan lokasi melampiaskan nafsu dirobohkan dalam operasi dijalankan 16 anggota penguat kuasa, semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Anil Aris berkata, lokasi yang merupakan binaan kayu bekas tempat letak motosikal berbayar dekat susur Jalan Petri atau lorong belakang itu dirobohkan bagi mengelakkan lokasi itu disalahgunakan pihak tertentu.

Menurutnya, sebelum ini kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai sebagai lokasi menyimpan motosikal, topi keledar, beg dan lain-lain yang diuruskan seorang pengusaha lama.

“Bagaimanapun, setelah pengusaha itu meninggal dunia dan tiada lagi kegiatan tersebut, kawasan ini dikatakan menjadi sasaran remaja dan golongan tidak bertanggungjawab sebagai lokasi maksiat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, operasi yang diketuai Roslin Bakar itu turut disertai kakitangan Bahagian Elektrik Jabatan Kejuruteraan MPSPK.

“Tindakan dilakukan mengikut Akta 133 Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 berhubung tindakan membina, mendirikan, membina tembok, pagar atau sesuatu benda yang menyebabkan halangan di mana-mana tempat awam.

“Sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM500 bagi kesalahan pertama dan RM1000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya,” katanya.

Sinar Harian 30 Mac lalu ada menyiarkan keluhan pengadu apabila melihat bekas tempat simpan motosikal yang dahulunya popular kini menjadi sarang maksiat.

Kunjungan Ahli Majlis, Ko Hung Weng ke tapak lokasi mendapati ia dipercayai menjadi lokasi pelacuran berdasarkan kesan sampah dan sisa yang ditinggalkan.

Menurut Hung Weng, kawasan itu dikhuatiri menjadi lokasi lepak pelajar sekolah kerana kedudukannya di tengah-tengah pusat bandar, namun agak tersembunyi.

Katanya, pemantauan juga mendapati terdapat sisa kondom yang telah digunakan, peralatan menghidu gam, sampah-sarap selain lokasinya kotor dan menjijikkan, ia juga dikhuatiri menjadi laluan tikus dan pembiakan nyamuk.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");