Jenayah

Joki hadapi 3 tuduhan mencuri

Kuala Lumpur: Seorang joki kereta dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tiga tuduhan mencuri dan memiliki kereta curi, tahun lalu.

Tertuduh, Wan Mohd Faisal Wan Ibrahim, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Azura Murah.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Mohd Faisal didakwa mencuri sebuah Perodua Kancil bernilai RM8,500 milik Aizudin Rusni di tempat letak kereta di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Jalan Pahang, di sini, antara jam 8.45 pagi hingga 7 malam, pada 28 Mac 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan niat mencuri sebuah Proton Waja bernilai RM16,000 milik Lim Thiong Heng di tempat letak kereta Apartmen Taman Desa Bakti, Sentul, di sini, antara jam 7.30 malam, 3 Mei 2014 hingga 7.30 pagi, 4 Mei 2014.

Dia didakwa mengikut 379(A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dan denda jika sabit kesalahan. Wan Mohd Faisal juga didakwa dengan curang memiliki sebuah kereta curi iaitu Perodua Kancil milik Felicia Gan Mun Hung bernilai RM10,000 di Lorong Kiri 18, Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini, pada jam 3 petang, 30 Mac 2015 dan didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit manakala tertuduh diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid.

Terdahulu, Nom Phot menawarkan jaminan sebanyak RM24,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan. Bagaimanapun, Wan Azmir memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah kerana anak guamnya menanggung ibu yang mengidap barah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan selain menetapkan 21 April ini untuk sebutan semula kes.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");