Jenayah

Jururawat hamil 17 minggu maut

LEDANG – Seorang wanita hamil 17 minggu maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 32 Jalan Muar-Segamat, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, Nor Farhana Ali, 32, yang juga jururawat Hospital Segamat maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintenden Mohd Salleh Abd Razak berkata, mangsa bersama seorang anak lelakinya berusia tiga tahun menaiki Perodua Myvi dari arah Muar menghala Segamat.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Proton Preve di hadapannya.

“Proton Preve itu yang dinaiki seorang lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia lingkungan 50-an, cuba mengelak ke kiri bahu jalan tetapi dirempuh kereta mangsa menyebabkan kenderaan tersebut terbabas masuk parit.

“Kejadian itu turut menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera ringan apabila kenderaannya merempuh belakang Proton Preve yang membelok ke kiri secara tiba-tiba kerana cuba mengelak daripada dirempuh kenderaan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, Nor Farhana yang mengalami kecederaan parah pada anggota badan bersama anaknya yang patah tangan dihantar ke HPSF untuk rawatan lanjut, namun mangsa meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

Mohd Salleh berkata, pemandu dan penumpang Proton Preve tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Seniman Idris berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.54 pagi.

“Ketika di tempat kejadian mendapati dalam kereta Perodua Myvi terdapat seorang wanita mengandung yang tersepit bahagian kaki bersama seorang anak lelakinya yang menangis ketakutan.

“Kami ambil masa selama lapan minit untuk membantu mengeluarkan mangsa yang masih bernyawa tetapi dalam keadaan lemah menggunakan peralatan khas,” katanya.

Katanya, operasi tamat kira-kira jam 7.48 pagi dan orang ramai turut membantu pihak bomba selain memujuk anak mangsa yang sedang menangis.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");