Sukan Hari Ini

Kepakaran Frenz United bantu bola sepak Melaka – KM

MELAKA: Kepakaran yang dimiliki kelab bola sepak Frenz United mampu membantu Melaka mengembangkan bakat muda sukan bola sepak di negeri ini seterusnya memajukan sukan itu di negeri Hang Tuah ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Justeru, Idris yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), berkata kerjasama yang dilakar MUSA dan Perbadanan Stadium Melaka dengan Frenz United bakal menjadi titik permulaan ke arah itu.

“Rakyat Melaka amat dahagakan kejayaan pasukan bola sepak Melaka iaitu Melaka United untuk melangkah ke tahap yang lebih baik dan disegani dalam sukan bola sepak.

“Bagaimanapun perlu diingatkan usaha memartabatkan sukan ini tidak boleh melalui jalan pintas, lebih banyak kerjasama yang erat perlu dijalin bersama pakar bola sepak seperti Frenz United,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MUSA, Perbadanan Stadium Melaka dengan Frenz United di sini.

Pada majlis itu Setiausaha Agung MUSA, Ahmad Rosli Hamzah, Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Stadium Melaka, Datuk Yusoff Mahadi dan Presiden Frenz United, Datuk Noor Ihsan Abdul Hamid menandatangani MoU berkenaan.

Pasukan bola sepak Melaka United yang dibimbing jurulatih berpengalaman Mat Zan Mat Aris kini di tangga ketiga dalam Kumpulan B Liga FAM selepas mencatat tiga kemenangan daripada lima perlawanan.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama itu, Idris berkata Stadium Hang Tuah di sini akan menjadi gelanggang rasmi buat Frenz United untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa antaranya Piala Antarabangsa Frenz dan Kejuaraan Trofi Juara Asia.

“Stadium Hang Tuah akan menjadi ‘homeground’ kepada semua aktiviti yang dijalankan Frenz United, kelab itu juga akan melaksanakan kerja penambahbaikan stadium dengan anggaran kos RM3 juta.

Pulangan pula dianggarkan RM200,000 setahun atau RM3 juta dalam tempoh 15 tahun,” katanya. Selain itu, beliau berkata buat masa ini, Frenz United juga bersetuju untuk mengambil alih dua daripada 10 buah padang bola di kawasan Stadium Hang Jebat untuk dijadikan tempat latihan. – BERNAMA

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");